TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wanita sarat hamil pengsan sebelum meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital di Sungai Petani

By
|
Kongsi
image

 

 

SUNGAI PETANI 10 April - Seorang wanita yang sedang sarat mengandung anak kedua meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas dikatakan pengsan di rumahnya di Taman Universiti Jaya Fasa 2, Semeling, Bedong, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku sekitar jam 5.57 petang dan disedari oleh suami mangsa selepas isterinya mengadu sakit seperti mahu bersalin sebelum tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

“Suami mangsa segera menghubungi ambulans, namun ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), wanita itu tidak menunjukkan sebarang tindak balas,” katanya.

Tambah beliau, sebaik tiba di hospital, mangsa disahkan meninggal dunia.

Doktor kemudian menjalankan pembedahan kecemasan bagi menyelamatkan bayi dalam kandungan, namun bayi lelaki tersebut turut disahkan meninggal dunia.

Siasatan awal mendapati wanita itu tidak mempunyai sebarang rekod penyakit, dan hasil pemeriksaan lanjut tidak menemui sebarang unsur jenayah atau perbuatan khianat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Mayat wanita dan bayi tersebut dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk proses bedah siasat sebelum dibawa pulang ke kampung halaman suaminya di Kuala Kurau, Perak untuk dikebumikan.

Difahamkan, suami arwah bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Pulau Pinang.

 

+ - reset