Berita Politik
MP Bukit Bendera kecam permintaan PAS Pulau Pinang batalkan sambutan Songkran hujung minggu ini

KUALA LUMPUR 10 April - Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, membidas kenyataan PAS Pulau Pinang yang mengkritik penganjuran acara muzik sempena sambutan Songkran hujung minggu ini, dengan menyifatkan pandangan parti itu sebagai tidak konsisten dan bermotif politik.
Menurut Syerleena, PAS Pulau Pinang mendakwa acara tersebut bertentangan dengan nilai moral, namun parti sama di Kedah menyokong sambutan Songkran dan menjadikannya sebahagian daripada strategi pelancongan negeri.
"Ini menunjukkan pendirian yang bercanggah. Ia tidak pernah menjadi isu sebelum ini, jadi tidak wajar dibangkitkan sekarang melainkan dengan niat mencetuskan kontroversi politik," katanya dalam satu kenyataan.
Songkran atau dikenali sebagai ‘pesta air’, merupakan sambutan tahun baharu masyarakat Thailand yang lazimnya berlangsung dari 13 hingga 15 April setiap tahun.
Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Fawwaz Jan, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, menggesa kerajaan negeri membatalkan acara muzik selama dua hari anjuran Ferringhi Heart Beach Club Malaysia sempena sambutan Songkran.
Beliau mendakwa acara itu mempromosikan hiburan melampau dan budaya hedonisme yang tidak selari dengan nilai moral masyarakat.
Menurut poster promosi acara tersebut, beberapa DJ terkenal dijadual membuat persembahan, dan tiket dijual kepada orang dewasa serta kanak-kanak berusia tiga tahun ke atas.
Mengulas lanjut, Syerleena berkata kerajaan Kedah sendiri pernah menganjurkan sambutan Songkran secara rasmi pada April tahun lalu dengan kerjasama komuniti tempatan, sebagai pengiktirafan terhadap nilai budaya serta sumbangannya kepada ekonomi negeri.
Beliau turut menekankan bahawa pesta kebudayaan Thailand itu telah menjadi sebahagian daripada kalendar pelancongan Pulau Pinang selama bertahun-tahun tanpa sebarang isu berkaitan moral sebelum ini.
“Tindakan PAS ini bukan berkisar soal nilai moral, tetapi soal kawalan dan campur tangan tidak wajar,” katanya.
Syerleena turut menyeru umat Islam agar mengamalkan nilai kesederhanaan, belas kasihan dan keadilan sebagaimana yang dianjurkan Islam, sambil menegaskan bahawa kekuatan negara ini terletak pada kepelbagaian serta keharmonian antara kaum dan agama.
Berita berkaitan
April 14, 2025, 12:21 pm
Aminuddin Harun kekal Ketua Cabang PKR Port Dickson
April 13, 2025, 3:26 pm
Rafizi, Amirudin kekal Ketua Cabang PKR di kawasan masing-masing
April 11, 2025, 1:05 pm
Ahli PKR tegur mufti, minta jangan politikkan isu penguatkuasaan
April 9, 2025, 8:07 am
PN umum calon anak jati rebut kerusi di PRK DUN Ayer Kuning
April 8, 2025, 10:38 am
Amanah siap sedia bantu calon Kerajaan Perpaduan menang di PRK Ayer Kuning
April 7, 2025, 5:00 pm
Ustaz Dr Mohamad Yusri Bakir taruhan BN di PRK DUN Ayer Kuning
April 7, 2025, 11:20 am
Akmal Nasrullah pertahan jawatan Ketua Cabang PKR Johor Bahru
March 28, 2025, 11:41 am
'Kalau betul sayangkan ummah, dulu tak keluar UMNO tubuh parti lain' - Tok Mat
March 24, 2025, 11:06 am