TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tragedi Putra Heights: 190 kediaman kembali diduduki - Polis

By
|
Kongsi
image

 

 

SUBANG JAYA 10 April - Seramai 190 pemilik rumah yang sebelum ini terjejas akibat insiden letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights kini dibenarkan kembali mendiami kediaman mereka.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata kerja-kerja siasatan, pemulihan dan penilaian sedang giat dijalankan oleh 12 agensi teknikal termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Antara agensi lain yang terlibat ialah Petronas, Koridor Utiliti Selangor (KUSEL), Air Selangor, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Indah Water, Telekom Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Setakat semalam, sebanyak 487 rumah telah diperiksa. Daripada jumlah itu, penghuni 328 unit telah dibenarkan pulang, manakala 190 daripadanya telah diduduki semula,” katanya kepada media.

Beliau turut memaklumkan bahawa TNB telah membekalkan semula tenaga elektrik kepada 306 buah rumah yang terjejas.

Polis juga telah menerima sebanyak 741 laporan berkaitan kejadian letupan dan kebakaran tersebut. Operasi bersepadu yang dikenali sebagai Op Gas, kini memasuki hari kesembilan dengan kekuatan 697 anggota dari 18 agensi.

"Bagi PDRM, termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA), seramai 169 anggota terlibat, dengan kawalan keselamatan 24 jam masih diteruskan di kawasan terjejas bagi memastikan keselamatan harta benda mangsa yang belum pulang," katanya.

Insiden letupan yang berlaku sebelum ini telah menyebabkan kerosakan harta termasuk pendawaian, dengan anggaran kerugian mencecah RM65.4 juta.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, memaklumkan bahawa tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) semasa kejadian berjaya menyelamatkan aset bernilai lebih RM285.9 juta. 

+ - reset