Berita Berita
Polis Thai dedah rakyat Malaysia rompak kedai emas rupanya pembunuh upahan

BANGKOK 10 April - Seorang lelaki warganegara Malaysia yang disyaki terlibat dalam rompakan bersenjata di sebuah kedai emas di Hat Yai, wilayah Songkhla, telah diberkas di Terminal Bas Selatan, Bangkok semalam.
Menurut pegawai Polis Wilayah Rantau 9, suspek yang dikenali sebagai Yee Boon Long, 61, ditahan ketika turun dari sebuah bas yang berlepas dari Hat Yai.
Hasil pemeriksaan, pihak berkuasa menemui 69 utas rantai emas, sepucuk pistol, serta beberapa butir peluru bersamanya.
Suspek kemudiannya dihantar semula ke Songkhla untuk menghadapi proses pendakwaan.
Rompakan tersebut berlaku pada pukul 11.55 pagi, Selasa lalu di kedai emas Thai Udom 2, terletak di Jalan Montri 1, pusat bandar Hat Yai.
Menurut pekerja kedai, suspek bertopeng dan bersenjata api telah melarikan barang kemas seberat 2.25 kilogram yang dianggarkan bernilai lebih 7 juta baht, sebelum melarikan diri menaiki motosikal.
Susulan kejadian, Mahkamah Wilayah Songkhla mengeluarkan waran tangkap terhadap suspek, yang didapati menggunakan beberapa identiti palsu, termasuk nama Thai, Anucha Saeyeoh.
Pihak berkuasa percaya Yee telah lama bersembunyi di Thailand. Komisioner Polis Rantau 9, Leftenan Jeneral Piyawat Chaloemsri turut menawarkan ganjaran 100,000 baht (kira-kira RM13,118) bagi maklumat yang membawa kepada penahanannya.
Menurut Piyawat, suspek mempunyai rekod jenayah lampau, termasuk kes rompakan sebuah kedai emas di Hat Yai pada tahun 2017. Yee dibebaskan dari penjara kira-kira setahun setengah lalu.
Lebih mengejutkan, sumber polis turut mendedahkan bahawa Yee disyaki terlibat dalam pembunuhan dua beradik warga Thai, Montree Saekung dan Srirat Saekung, di sebuah rumah sewa di Tambon Koh, Songkhla pada 22 Mei 2014.
Di Malaysia pula, Yee dikehendaki kerana terlibat dalam rompakan sebuah kedai emas di Butterworth, Seberang Perai, kira-kira 20 tahun lalu, dengan nilai rompakan mencecah 50 juta baht (RM6.6 juta).
Dia juga disyaki sebagai pembunuh upahan dan dikaitkan dengan sekurang-kurangnya 10 kes pembunuhan di Malaysia.
Menurut sumber, selepas melarikan diri ke Thailand, Yee dipercayai telah membeli kad pengenalan palsu bernilai 250,000 baht (RM32,800) di daerah Chai Prakan, Chiang Mai, menggunakan identiti seorang penduduk asal dari puak bukit, Anucha Saeyeoh. - AGENSI
Berita berkaitan
April 18, 2025, 7:02 pm
Laporan awal insiden Putra Heights hampir siap, paip meletup sudah ditemui - Polis
April 18, 2025, 3:12 pm
'Kesilapan ilustrasi Jalur Gemilang bukan perkara ringan' - Anwar
April 18, 2025, 1:12 pm
Akmal Saleh tegas bantah dakwaan pemilihan PKR terpengaruh budaya UMNO
April 18, 2025, 1:09 pm
Remaja 15 tahun maut terkena renjatan elektrik ketika memanah ikan di sungai
April 18, 2025, 1:00 pm
Polis terima 28 laporan sokong tindakan penguatkuasaan kebun durian haram di Raub
April 18, 2025, 12:54 pm
Pencerobohan tanah haram musuh utama negeri - Sultan Pahang
April 18, 2025, 12:41 pm
Jurutera 'miang' didakwa rakam video bogel bekas kakak ipar guna kamera pen tersembunyi
April 18, 2025, 12:36 pm
Polis buru pemilik akaun sosial hina agama, ajak bom masjid
April 18, 2025, 12:28 pm
Lelaki OKU lembam ditemukan lemas dalam kolam di Machang
April 18, 2025, 12:22 pm