Berita Berita
Juruterbang agresif, tahap alkohol tinggi punca nahas pesawat Blackshape Gabriél di Kapar

PUTRAJAYA 10 April – Laporan akhir kemalangan pesawat Blackshape Gabriél BK 160TR yang terhempas di Kapar, Selangor tahun lalu mendedahkan bahawa juruterbang melakukan manuver penerbangan agresif yang melebihi had kemampuan pesawat, menjadi punca utama nahas.
Menurut Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB), tindakan itu memberi tekanan berlebihan terhadap struktur pesawat yang diperbuat daripada bahan komposit, menyebabkan bahagian tertentu tercabut ketika masih di udara.
“Struktur pesawat telah mengalami kerosakan akibat operasi berulang yang melebihi kelajuan udara maksimum, faktor beban dan had struktur yang diluluskan. Ini menyebabkan tekanan tidak wajar ke atas struktur dan mengakibatkan kegagalan semasa penerbangan,” jelas laporan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan hari ini.
Pesawat ringan berkenaan yang dikendalikan oleh syarikat Aviation Safety Technology Pte Ltd dari Singapura, berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 13 Februari 2023 untuk penerbangan rekreasi ke barat Kapar, Selangor.
Ia terhempas kira-kira jam 1.36 tengah hari di ladang kelapa sawit di Kampung Tok Muda dan mengorbankan kedua-dua juruterbang dan pembantunya.
Laporan turut mendedahkan bahawa beberapa komponen pesawat seperti tie-down rings dipasang tanpa perakuan yang sah, sekali gus melemahkan lagi struktur pesawat.
Selain itu, penyelenggaraan pesawat juga dilakukan oleh individu tidak bertauliah menggunakan alat ganti tidak diperakui, menjadikan pesawat lebih terdedah kepada kegagalan struktur dalam penerbangan.
Antara faktor lain yang dikenal pasti menyumbang kepada tragedi itu termasuk kelemahan dalam prestasi juruterbang, penyeliaan operasi, serta kegagalan dalam pengurusan penyelenggaraan.
Turut mengejutkan, laporan menunjukkan tahap alkohol dalam darah juruterbang adalah 0.032 peratus – melebihi had undang-undang iaitu 0.02 peratus – yang berkemungkinan turut menjejaskan keupayaan kendalian pesawat ketika itu.
Laporan setebal 204 muka surat itu turut menyimpulkan bahawa kesemua penumpang tidak mempunyai peluang untuk terselamat disebabkan impak nyahpecutan yang sangat tinggi sewaktu pesawat menghentam tanah.
Sebagai langkah susulan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mencadangkan penambahbaikan terhadap pemantauan operasi penerbangan tidak berjadual, terutama melibatkan pesawat berdaftar luar negara serta kru penerbangan berlesen asing yang beroperasi di dalam negara.
Berita berkaitan
April 18, 2025, 12:11 pm
12,787 pengarah syarikat disekat ke luar negara akibat gagal bayar caruman pekerja - KWSP
April 18, 2025, 11:58 am
KPM tegas, tidak kompromi kesalahan seksual libatkan guru - Fadhlina
April 18, 2025, 11:50 am
'Tak boleh tunggu lama lagi, kerajaan negeri boleh haramkan vape dulu' - Ayob Khan
April 18, 2025, 11:46 am
Pengurus tapak didakwa cederakan lelaki guna parang di Seremban
April 18, 2025, 11:31 am
Bidoglio mahu JDT terus perbaiki prestasi walaupun tamat liga tanpa alah
April 18, 2025, 11:26 am
KJ menang saman RM2.5 juta kes vaksin Covid-19
April 18, 2025, 11:20 am
Nak cari kerja sambilan, tapi wang simpanan lebih RM30,000 pula yang lesap ditipu scammer
April 18, 2025, 11:16 am
Cubaan seludup ganja ke Eropah gagal, Kastam rampas lebih 36kg di KLIA
April 18, 2025, 11:00 am
(VIDEO) Serbuan Imigresen di Medan Imbi: 506 warga asing ditahan
April 18, 2025, 10:50 am