TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

Trump tangguh tarif timbal balik ke atas lebih 75 negara selama 90 hari

By
|
Kongsi
image

 

WASHINGTON, 10 April – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan bahawa beliau sedang mempertimbangkan untuk menangguhkan selama 90 hari pelaksanaan tarif timbal balik terhadap lebih 75 negara rakan dagang. Keputusan itu, menurutnya, lahir daripada semangat diplomasi dan muhibah antara Amerika Syarikat dan negara-negara terbabit.

“Saya telah memikirkannya sejak beberapa hari lalu. Saya berbincang dengan Scott, Howard, dan beberapa lagi pakar profesional.

"Saya percaya keputusan ini telah dimuktamadkan awal pagi ini,” kata Trump, merujuk kepada Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent, dan Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick.

Tambah beliau, keputusan itu ditulis dengan niat yang baik dan bertujuan untuk memberi manfaat bukan sahaja kepada Amerika Syarikat tetapi juga kepada dunia.

"Kita tidak mahu menyusahkan negara-negara yang sebenarnya bersedia untuk berunding,” katanya lagi.

Pengumuman tersebut hadir pada hari yang sama beliau menaikkan tarif ke atas barangan import dari China kepada 125 peratus.

Sementara itu, lebih 75 negara lain akan diberi penangguhan selama tiga bulan sebelum mereka dikenakan tarif melebihi kadar asas 10 peratus.

Sebahagian negara dijangka berdepan kadar lebih tinggi jika rundingan gagal dicapai.

Dalam satu kenyataan menerusi platform Truth Social, Trump menjelaskan bahawa keputusan menangguhkan tarif dibuat selepas menerima permintaan daripada negara-negara berkenaan yang ingin mengadakan perbincangan berkaitan pelbagai isu perdagangan.

Ini termasuk halangan perdagangan, manipulasi mata wang, serta tarif bukan berbentuk kewangan.

Trump turut memuji negara-negara yang menurutnya tidak mengambil tindakan balas terhadap Amerika Syarikat, meskipun berdepan tekanan tarif sebelum ini.

Berita mengenai penangguhan tarif itu memberi kesan positif kepada pasaran saham.

Indeks Nasdaq melonjak lebih 12 peratus manakala Dow Jones meningkat sebanyak 7.8 peratus, menandakan pemulihan selepas kejatuhan ketara yang berlaku pada minggu sebelumnya.

+ - reset