TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Letupan paip gas Putra Heights: MITI, Kesuma diberi arahan kenal pasti syarikat, pekerja terjejas

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 9 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) untuk segera menyenaraikan syarikat dan pekerja yang terjejas akibat letupan paip gas di Putra Heights minggu lalu.

Menurut Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, arahan itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung pada Rabu. Katanya, kedua-dua kementerian tersebut akan berhubung terus dengan syarikat-syarikat yang terlibat bagi meneliti situasi dan mengambil tindakan sewajarnya.

Fahmi turut menjelaskan bahawa kerajaan telah dimaklumkan mengenai kekangan yang dihadapi beberapa syarikat dan kilang akibat penutupan saluran gas. Bagi menangani isu ini, Suruhanjaya Tenaga (ST) dijadualkan bertemu dengan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) bagi membincangkan penyelesaian terbaik.

Letupan saluran paip gas milik Petronas yang berlaku pada pagi Selasa minggu lalu menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter, dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius. Kebakaran itu mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya. Kejadian tersebut telah menyebabkan kemusnahan besar, termasuk rumah yang musnah sepenuhnya, separa musnah serta rumah yang terjejas tetapi tidak terbakar.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan bahawa kerajaan mengalu-alukan sumbangan daripada syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi membantu mangsa insiden tersebut.

Bantuan yang diberikan termasuk pengecualian bayaran bagi perkhidmatan prabayar dan pascabayar dalam tempoh tertentu, penggantian peralatan serta kad SIM secara percuma, dan penyediaan perkhidmatan Wi-Fi 5G percuma di pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau menegaskan bahawa sumbangan dan sokongan ini mencerminkan keprihatinan syarikat telekomunikasi terhadap pelanggan yang terjejas, sejajar dengan nilai ihsan yang menjadi teras dalam Kerajaan Madani. - Media Telus

+ - reset