TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Remaja ditahan jual gambar lucah disunting guna teknologi AI

By
|
Kongsi
image

 

JOHOR BAHRU 9 April - Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan polis selepas disyaki memuat naik dan menjual gambar lucah yang disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) di laman sosial.

Suspek yang masih bersekolah itu ditahan sekitar jam 5 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di kawasan Kulai.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, penahanan suspek dibuat susulan laporan oleh seorang remaja perempuan berusia 18 tahun pada 3 April lalu. Mangsa mendakwa terdapat gambar lucah yang menggunakan wajahnya tersebar di media sosial dan cuba dijual dalam talian.

“Ketika tangkapan dilakukan, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk menyunting dan memuat naik gambar mangsa bagi tujuan jualan.

“Siasatan awal mendapati gambar mangsa diperoleh dari akaun media sosial, sebelum disunting menggunakan aplikasi AI. Gambar-gambar berkenaan dipercayai dijual pada harga RM2 sekeping,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Kumar, suspek telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan berkaitan penyebaran bahan lucah, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang melibatkan penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihak polis menerima lapan laporan lain berkaitan kes yang melibatkan suspek sama.

Orang ramai yang terjejas dinasihatkan supaya segera tampil membuat laporan di balai polis berhampiran. Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Huda Shohodin di talian 013-5382698. - Media Telus

+ - reset