TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ditegur Ahmad Zahid jangan bergaduh lagi menjelang PRK Ayer Kuning, ini respon Dr Akmal

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 9 April - Selepas dinasihatkan agar tidak terlibat dalam sebarang pertelingkahan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, hari ini mengingatkan semua pihak agar tidak menyentuh isu-isu sensitif yang melibatkan agama, bangsa dan institusi diraja (3R).

Beliau yang dikenali lantang bersuara, termasuk terhadap rakan dalam Kerajaan Perpaduan, menegaskan bahawa beliau dan Pemuda UMNO tidak akan berdiam diri sekiranya mana-mana pihak cuba membangkitkan isu 3R — walaupun risiko pertikaian mungkin timbul.

"Saya nak ingatkan kepada semua, kalau tak nak saya bergaduh, jangan usik perkara sensitif, sama ada daripada parti kerajaan mahupun pembangkang.
Sudah tentu saya akan bersuara. Siapa pun yang sentuh, kami tetap akan bersuara," katanya kepada BH.

Semalam, media melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, secara berseloroh menasihatkan Muhamad Akmal supaya mengelak daripada sebarang konfrontasi sehingga selesai PRK Ayer Kuning pada 25 April ini, bagi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar dan harmoni. Zahid juga mahu kerjasama erat dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) bagi menjamin kemenangan calon.

Muhamad Akmal sebelum ini pernah terbabit dalam beberapa pertikaian dengan pemimpin DAP seperti Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berhubung isu 'ham', serta Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkaitan pensijilan halal.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyeru ahli UMNO agar memanfaatkan mesyuarat cawangan parti yang bermula Sabtu lalu, sebagai platform untuk memperkukuh perjuangan dan memperkemas gerak kerja parti.

"Saya senada dengan Presiden supaya ahli terus menyusun langkah bagi memastikan UMNO terus relevan dalam landskap politik semasa," katanya lagi.

+ - reset