TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kelantan cecah 4,591 kes HFMD, meningkat 10 kali ganda sejak tahun lalu

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU, 9 April – Kelantan merekodkan sebanyak 4,591 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dari 1 Januari hingga 5 April 2025, menunjukkan peningkatan sebanyak 10 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata majoriti kes melibatkan kanak-kanak bawah usia enam tahun yang berada di pusat asuhan dan tadika.

“Sebanyak 43 premis, khususnya pusat asuhan kanak-kanak dan tadika, telah diarahkan tutup sementara sehingga dua minggu bagi menjalankan langkah penjagaan serta proses sanitasi,” katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Wellness Hub Kelantan di Pengkalan Chepa, hari ini.

Menurut beliau, kanak-kanak yang dijangkiti HFMD menunjukkan gejala seperti bintik-bintik di kulit, ruam dan demam ringan.

Walaupun berlaku peningkatan ketara, Dr Zaini menjelaskan bahawa trend penularan HFMD ketika ini kekal mendatar dan tidak terjejas oleh pergerakan keluar masuk perantau sempena Ramadan dan Syawal.

“Langkah pencegahan tetap diteruskan dan aspek kebersihan perlu diberikan keutamaan, khususnya oleh ibu bapa serta pengusaha pusat asuhan dan tadika,” tegasnya.

Kementerian Kesihatan menyeru orang ramai untuk meningkatkan amalan kebersihan diri dan persekitaran bagi mengekang penularan HFMD, terutamanya di premis yang melibatkan kanak-kanak kecil.

+ - reset