TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

8 sekeluarga termasuk wanita hamil hilang tempat berteduh dalam kebakaran di Kuala Terengganu

By
|
Kongsi
image

KUALA TERENGGANU, 10 April – Lapan sekeluarga termasuk seorang wanita hamil tinggal sehelai sepinggang selepas rumah sewa mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Gelong Gajah, malam tadi.

Kejadian berlaku sekitar jam 10.40 malam, menyebabkan mangsa, Nur Azlina Mohd Azim, 25, hampir pengsan apabila melihat rumah yang didiami bersama tujuh ahli keluarga lain musnah dijilat api.

Suaminya, Che Muhamad Hairi Che Hussain, 27, berkata ketika kejadian, beliau berada di Kampung Mak Kemas untuk menjemput isterinya pulang bekerja dari sebuah pasar raya.

“Saya terima panggilan daripada ahli keluarga memaklumkan rumah terbakar. Apabila tiba di lokasi, rumah sudah musnah sepenuhnya.
Isteri hampir pengsan melihat keadaan rumah. Kami tidak sempat selamatkan apa-apa, semuanya hangus,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Muhammad Azam Abdul Hadi, 21, yang juga ahli keluarga mereka, berkata beliau menerima panggilan kecemasan daripada bapa saudaranya, Che Hamdan Che Hussain, 35, memaklumkan tentang kebakaran.

“Bapa saudara minta saya datang segera kerana dia hampir sesak nafas akibat asap tebal.
Api sedang marak ketika saya tiba dan saya terus hubungi bomba,” katanya.

Menurut Azam, semua barangan dalam rumah gagal diselamatkan, termasuk sebuah kereta dan tiga motosikal yang turut musnah dalam kebakaran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Thoiyibah Taib, memaklumkan pihaknya mengambil masa 45 minit untuk memadamkan kebakaran yang membabitkan dua buah rumah.

“Sebuah daripada rumah tersebut hangus sepenuhnya,” katanya.

Punca kebakaran masih dalam siasatan, dan tiada kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan. Pihak berkuasa kini sedang menyelaras bantuan kecemasan kepada keluarga yang terjejas.

+ - reset