TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Polis buru suspek baling bom petrol ke rumah warga emas di Ipoh

By
|
Kongsi
image

IPOH 9 April - Polis sedang mengesan individu yang disyaki terlibat dalam insiden khianat dengan melontar bom petrol atau ‘molotov cocktail’ ke sebuah rumah di Kampung Rapat, di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, seorang wanita berusia 62 tahun telah membuat lima laporan polis berhubung kejadian tersebut, yang berlaku antara 26 Mac hingga 4 April lalu.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa menerima nota ugutan yang ditinggalkan di hadapan pagar rumahnya. Nota tersebut mengandungi tuntutan agar mangsa melunaskan hutang yang dipercayai menjadi punca kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, bom petrol telah dibaling ke dalam kawasan rumah mangsa sebanyak lima kali, menyebabkan kerosakan pada beberapa bahagian rumah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan kebakaran pada pagar, kawasan tempat letak kereta, pintu hadapan dan dinding rumah,” ujarnya.

Menurut Abang Zainal, siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan khianat dengan menggunakan api yang boleh menyebabkan kerosakan harta.

Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden S. Dasarathan di talian 012-5644485.

 

 

+ - reset