TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jangan salahkan guru dan pelajar saja, ibu bapa juga punca buli sekolah - Asyraf Wajdi

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 9 April - Faktor ibu bapa serta masalah dalaman keluarga turut dikenal pasti sebagai antara penyumbang utama kepada kes buli dalam kalangan pelajar sekolah di negara ini.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menegaskan bahawa kesalahan tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya ke atas bahu pelajar atau guru semata-mata.

“Jangan hanya menuding jari kepada pelajar atau guru. Ibu bapa dan suasana di rumah juga memainkan peranan besar dalam menyumbang kepada budaya buli yang terbawa-bawa hingga ke asrama dan sekolah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan Sinar Harian pada Isnin berhubung insiden buli yang didakwa berlaku di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di utara tanah air.

Arahan siasatan segera telah dikeluarkan oleh pihak MARA selepas tular sebuah video berdurasi 1 minit 31 saat di Facebook, memaparkan beberapa pelajar memijak dan duduk di atas seorang pelajar lelaki.

Lebih mengejutkan, mangsa turut diikat kaki menggunakan tali pinggang dan langsung tidak melawan sepanjang kejadian berlaku.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi memaklumkan bahawa tujuh pelajar yang terbabit dalam insiden berkenaan telah disyorkan untuk ditamatkan pengajian di institusi tersebut.

“Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) telah bersidang dan memutuskan bahawa tujuh pelajar terlibat, di mana dua daripadanya dikenal pasti sebagai pelaku utama manakala lima lagi bersubahat dalam kejadian buli itu,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, cadangan penamatan pengajian terhadap semua pelajar yang terlibat telah dikemukakan sebagai langkah tegas untuk menangani gejala buli di institusi pendidikan MARA. - Media Telus

+ - reset