Berita Berita
Lelaki warga China pandu Lamborghini tanpa lesen ditahan JPJ

KUALA LUMPUR 9 April - Tindakan seorang lelaki warga China memandu sebuah kereta mewah Lamborghini tanpa lesen membawa padah apabila dia ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam sekatan jalan raya di Jalan Bangsar, malam tadi.
Lelaki berusia 28 tahun itu yang juga seorang pencipta kandungan ditahan dalam Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 sekitar jam 8 malam, selepas gagal mengemukakan lesen memandu sah ketika diminta oleh pegawai penguat kuasa.
Difahamkan, lelaki tersebut dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Damansara Heights bersama seorang wanita yang dipercayai kekasihnya.
Walaupun dia mengemukakan pasport dan mendakwa telah menetap di Malaysia sejak tujuh tahun lalu, ketiadaan lesen memandu menyaksikan kereta mewah Lamborghini miliknya disita untuk tindakan lanjut.
26 Kenderaan Disita Termasuk Lamborghini
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata lelaki itu antara 211 pemandu yang dikenakan tindakan dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
“Sebanyak 1,627 kenderaan diperiksa dalam operasi malam tadi membabitkan 115 pegawai dan anggota.
"JPJ Kuala Lumpur mengeluarkan 463 notis atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan ubah suai kenderaan.
"Sebanyak 26 kenderaan disita, termasuk Lamborghini yang dipandu lelaki warga China itu,” katanya dalam sidang media.
Imigresen dan AADK Turut Bertindak
Menurut Hamidi, JSPT turut mengeluarkan 30 notis terhadap pemandu atas pelbagai kesalahan trafik. Pihak Imigresen pula menahan tiga warga Indonesia, termasuk dua wanita, atas kesalahan imigresen, manakala AADK menahan tiga individu selepas didapati positif dadah jenis ganja.
Beliau berkata, Operasi Khas HRA 2025 yang bermula sejak 24 Mac lalu sehingga semalam, bertujuan memastikan keselamatan jalan raya sepanjang musim perayaan.
“Sepanjang tempoh itu, sebanyak 15,490 kenderaan diperiksa di sekitar Kuala Lumpur. Daripada jumlah itu, 1,729 kenderaan dikenakan tindakan, manakala 4,559 notis kesalahan dikeluarkan dan 24 lagi kenderaan turut disita,” katanya. - Media Telus
Berita berkaitan
April 17, 2025, 5:26 pm
Kelapa Malaysia tembus pasaran China - MoU dimeterai sempena lawatan Xi Jinping
April 17, 2025, 5:19 pm
Taktik gagal: Syabu RM15 Juta ditinggal dalam Triton Di LPT1
April 17, 2025, 5:11 pm
“Mahu bersihkan nama” – Nasib Syed Saddiq di ambang penentuan 24 April ini
April 17, 2025, 4:52 pm
DBKL diberi 4 bulan laksana pemutihan peniaga 'rambo' di KL
April 17, 2025, 4:28 pm
NGO tiada kuasa, wakil rakyat perlu ambil tanggungjawab tangani isu kuil - Sivakumar
April 17, 2025, 3:35 pm
Kelantan kekal tertinggi kes dadah, Pendang catat daerah paling 'panas'
April 17, 2025, 3:14 pm
40 laporan polis diterima berhubung isu Jalur Gemilang disiar tidak lengkap
April 17, 2025, 2:06 pm
Lelaki cedera parah, tangan tersepit dalam mesin pengisar daging
April 17, 2025, 1:58 pm
Gempa bumi sederhana landa Selatan Bali, tiada ancaman Tsunami – MetMalaysia
April 17, 2025, 1:51 pm