TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Letupan paip gas: 24 mangsa layak terima bantuan peralatan pemulihan – PERKESO

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 9 April - Seramai 24 daripada 46 mangsa insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights pada hari kedua Syawal disahkan layak memohon bantuan peralatan pemulihan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, saringan awal dibuat terhadap mangsa yang sedang dirawat di hospital dan klinik swasta sekitar Lembah Klang.

Menurut beliau, PERKESO turut melanjutkan semakan kepada 88 mangsa lain yang dirawat di hospital kerajaan di Kuala Lumpur, Serdang, Selayang, Shah Alam dan Klang.

“Difahamkan terdapat 134 mangsa keseluruhan dalam tragedi itu. Setakat ini, semakan awal melibatkan 46 individu, dan 24 daripadanya disahkan layak memohon peralatan pemulihan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Mohammed Azman menjelaskan, mangsa yang memerlukan peralatan boleh terus membuat permohonan dan PERKESO akan membantu mendapatkan rawatan serta sokongan yang bersesuaian.

Beliau turut menegaskan bahawa PERKESO bersedia memproses tuntutan bagi pencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang terjejas semasa menjalankan tugas atau berada di lokasi kejadian.

“Skuad PERKESO Prihatin dari Selangor dan Kuala Lumpur telah turun ke lokasi pada hari kejadian serta menziarahi mangsa di hospital bagi mendapatkan perkembangan terkini,” tambahnya.

Katanya lagi, pihak PERKESO juga bekerjasama dengan pelbagai agensi menerusi Program Sinergi Sosial untuk memastikan semua mangsa menerima bantuan yang bersesuaian mengikut keperluan masing-masing.

“PERKESO bersimpati dengan nasib yang menimpa semua mangsa. Kami mendoakan agar mereka terus tabah menghadapi dugaan ini,” ujarnya. - Media Telus

+ - reset