TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MOT sumbang 55 motosikal baharu kepada mangsa letupan paip gas Putra Heights

By
|
Kongsi
image

 

SUBANG JAYA 8 April - Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini menyerahkan sebanyak 55 unit motosikal Yamaha Ego Avantis 125 kepada penduduk yang terkesan akibat insiden letupan paip gas di Kampung Kuala Sungai Baru, Putra Heights.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata sumbangan itu adalah hasil tajaan syarikat korporat Spanco bagi membantu mangsa, khususnya dalam aspek mobiliti harian yang terjejas teruk susulan kejadian berkenaan.

“Sudah hampir seminggu insiden ini berlaku dan selain rumah serta kenderaan yang musnah, ramai penduduk turut kehilangan motosikal yang merupakan pengangkutan utama mereka,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan motosikal di LRT Putra Heights, hari ini.

Loke menjelaskan, MOT mengambil inisiatif mencari penaja dan hasilnya, Spanco bersetuju menaja kesemua 55 motosikal yang diperoleh daripada pembekal tempatan.

Menurut beliau, harga pasaran motosikal tersebut adalah sekitar RM6,000 seunit, namun ia dibeli pada harga RM5,000 seunit dan kos keseluruhan termasuk insurans setahun ditanggung sepenuhnya oleh Spanco.

“Motosikal ini juga telah didaftarkan terus oleh kaunter bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dibuka khas di lokasi penyerahan. Setiap penerima menerima sijil pemilikan kenderaan dan cukai jalan yang telah dibayar oleh penaja,” katanya.

Tambahnya lagi, kesemua motosikal didaftarkan dengan nombor pendaftaran khas ‘MADANI’ mengikut spesifikasi ditetapkan JPJ, manakala JPJ turut menyumbangkan topi keledar secara percuma kepada semua penerima.

Loke berkata sumbangan itu mencerminkan kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta dalam membantu rakyat yang ditimpa bencana.

“Kita harap bantuan ini dapat memulihkan semula kehidupan harian mangsa secepat mungkin,” ujarnya.

 

+ - reset