TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Insiden Putra Heights: 'Semua pihak perlu bersabar, tiada apa yang ingin 'disorok' - Exco Selangor

By
|
Kongsi
image

 

SUBANG JAYA 8 April – Kerajaan Selangor menegaskan bahawa tiada sebarang usaha untuk menyembunyikan maklumat berkaitan insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights, sebaliknya siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian negeri, Datuk Izham Hashim berkata, kejadian itu melibatkan pelbagai pihak dan memerlukan masa untuk dikaji secara teliti.

Buat masa ini, keutamaan diberikan kepada aspek keselamatan di kawasan terjejas.

“Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian memerlukan masa. Apabila bukti kukuh diperoleh, Menteri Besar akan membuat pengumuman rasmi.

“Tiada apa yang mahu kami sembunyikan, tetapi siasatan memerlukan proses dan masa,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) hari ini.

Beliau turut menolak dakwaan yang tersebar di media sosial kononnya projek berkaitan insiden tersebut tidak mempunyai kelulusan atau dijalankan tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Projek ini mempunyai permit dan kelulusan yang sah. Semua prosedur telah diikuti. Isunya kini hanya untuk mengenal pasti punca sebenar insiden berlaku,” tegas beliau.

Letupan dan kebakaran besar melibatkan saluran paip gas milik Petronas di Putra Heights berlaku pada hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kemusnahan besar dan memaksa sebahagian penduduk di kawasan berhampiran dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Kebakaran membabitkan saluran paip gas sepanjang kira-kira 500 meter itu bermula sekitar jam 8 pagi, dengan api yang menjulang tinggi sehingga boleh dilihat dari beberapa kilometer jauhnya.

 

+ - reset