TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Perniagaan rugi pun wajib lapor pendapatan - LHDN

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 8 April – Setiap individu yang menjalankan perniagaan, termasuk mereka yang mengalami kerugian, tetap wajib melaporkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut Ketua Penolong Pengarah LHDN Kuala Lumpur, Syed Mohd Syukree Syed Mohd Kamil, ramai peniaga masih keliru dan beranggapan mereka tidak perlu menghantar borang cukai jika tidak mencatat keuntungan, sedangkan tindakan itu menyalahi undang-undang.

“Kerugian dalam perniagaan adalah perkara biasa. Sama ada untung atau rugi, anda tetap wajib mengemukakan laporan pendapatan setiap tahun. Laporkan sahaja kerana tidak semestinya anda akan dikenakan cukai,” katanya dalam program Klinik Cukai terbitan Bernama Radio.

Tambah beliau, individu seperti Youtuber, Instafamous, pempengaruh media sosial dan pembuat ulasan berbayar juga diklasifikasikan sebagai usahawan jika menerima bayaran, sekali gus tertakluk kepada kewajipan percukaian.

Syed Mohd Syukree turut mengingatkan bahawa kegagalan menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) boleh menyebabkan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 112(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, termasuk denda sehingga RM20,000, penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk membuat penghantaran Borang B atau e-B di portal MyTax antara 1 Mac hingga 15 Julai dan memastikan rekod kewangan disimpan sekurang-kurangnya tujuh tahun bagi tujuan rujukan dan audit.

“Pastikan semua perbelanjaan yang dituntut benar-benar berkaitan dengan perniagaan. Elakkan mencampur perbelanjaan peribadi dengan urusan syarikat,” katanya lagi.

Dengan pematuhan kepada peraturan cukai, usahawan bukan sahaja dapat meningkatkan kredibiliti perniagaan mereka tetapi juga lebih mudah untuk mendapat manfaat daripada pelbagai insentif kerajaan, termasuk bantuan modal, latihan dan program pembangunan keusahawanan.

 

+ - reset