TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Syahredzan pertahan tindakan ADUN Semenyih hadir program di rumah ibadat bukan muslim

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 8 April - Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan tampil mempertahankan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz yang menghadiri satu program di rumah ibadat bukan Muslim baru-baru ini.

Dalam kenyataan yang dikongsikan di Facebook pada Selasa, Syahredzan menegaskan bahawa kehadiran seorang wakil rakyat Muslim ke kuil, tokong atau gereja tidak wajar dipolemikkan kerana ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab menyantuni rakyat, bukannya terlibat dalam sebarang ritual keagamaan.

“Wakil rakyat harus mewakili semua kaum dan agama, bukan hanya komunitinya sahaja,” katanya sambil menambah bahawa kehadiran ke rumah ibadat tersebut berlaku atas jemputan rakyat yang diwakili.

Syahredzan turut berharap agar isu sebegini tidak terus dijadikan modal perdebatan politik yang tidak sihat, sambil menyelar tindakan sesetengah pihak yang menurutnya bersikap berat sebelah dalam menilai tindakan pemimpin.

“Beberapa pemimpin Pakatan Harapan yang hadir ke rumah ibadat bukan Muslim sering dikecam, termasuk Perdana Menteri sendiri. Saya juga pernah mengalaminya. Jangan pula bila pemimpin belah lawan buat, jadi salah, tetapi bila pemimpin sendiri buat, boleh pula,” tegasnya.

Beliau turut menyeru agar semua pihak mengamalkan kematangan dalam berpolitik dan memberi tumpuan kepada usaha menyatukan rakyat pelbagai kaum dan agama. - Media Telus

+ - reset