TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

Tewaskan Yemen 4-1, Indonesia cipta sejarah layak ke Piala Dunia

By
|
Kongsi
image

JEDDAH 8 April - Pasukan Bawah 17 Tahun (B-17) Indonesia mengesahkan tempat ke Piala Dunia B-17 2025 di Qatar selepas mencatat kemenangan meyakinkan 4-1 ke atas Yemen dalam aksi kedua peringkat Kumpulan C, Piala Asia B-17 di Stadium Prince Abdullah Al Faisal Sports City, Isnin lalu.

Kemenangan bergaya itu menyaksikan anak buah Nova Arianto meraih enam mata maksimum hasil dua kemenangan berturut-turut, sekaligus menduduki tangga teratas kumpulan dan mara ke suku akhir kejohanan.

Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir menyifatkan pencapaian tersebut sebagai satu detik membanggakan buat negara.

“Saya ucapkan tahniah. Kemenangan menentang Yemen memastikan Indonesia bukan saja mara ke suku akhir, tetapi turut layak ke Piala Dunia B-17 2025. Namun perjuangan belum tamat. Semua pemain dan barisan kejurulatihan perlu terus fokus untuk mencipta pencapaian lebih membanggakan,” katanya.

Dalam perlawanan menentang Yemen, Indonesia menurunkan kesebelasan utama yang sama ketika menewaskan Korea Selatan sebelum ini. Mereka membuka jaringan menerusi Muhamad Zahaby Gholy pada minit ke-15 sebelum Fadly Alberto menggandakan kedudukan pada minit ke-26.

Yemen merapatkan jurang selepas Mohammed Al Garash menyempurnakan penalti pada minit ke-48, namun Evandra Floresta menjadi wira Indonesia apabila meledak dua penalti pada minit ke-87 dan 89, hasil umpanan Josh Holong Junior, sekaligus mematikan kebangkitan Yemen.

Erick turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam kejayaan ini.

“Ini adalah hasil kerjasama menyeluruh. Terima kasih kepada jurulatih Nova Arianto, para pemain, pegawai pasukan, ibu bapa, penyokong setia, organisasi PSSI di seluruh Indonesia serta kerajaan di bawah pimpinan Presiden Prabowo Subianto atas sokongan tidak berbelah bahagi,” ujarnya.

Dengan aksi cemerlang ini, skuad Garuda Muda bakal beraksi di pentas dunia, dan seluruh rakyat Indonesia pastinya menantikan prestasi hebat seterusnya daripada generasi muda bola sepak negara. - Media Telus

+ - reset