TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Warga emas OKU maut, tiga cedera dalam kebakaran rumah di Marang

By
|
Kongsi
image

MARANG 8 April - Seorang warga emas orang kurang upaya (OKU) maut manakala tiga lagi cedera dalam satu kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Jalan Taman Emas Murni awal pagi Selasa.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.25 pagi itu, mangsa, Razaidah Mohamad, 78, yang merupakan OKU kategori mental, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terperangkap dalam rumah berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marang, Che Mohd Badrul Isham Che Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.25 pagi dan tiba di lokasi hanya dua minit kemudian.

Menurutnya, tiga lagi mangsa yang cedera terdiri daripada seorang lelaki dewasa dan dua wanita dewasa, yang juga OKU, berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba. Namun begitu, seorang lagi mangsa dilaporkan masih terperangkap di dalam rumah semasa operasi dijalankan.

“Sebaik operasi pemadaman dilaksanakan, anggota bomba menemui mangsa terperangkap di bilik belakang rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala ketiga-tiga mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Kebakaran tersebut melibatkan sebuah rumah jenis kekal yang mengalami kemusnahan sebanyak 60 peratus. Operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.37 pagi dan ditamatkan sekitar jam 5.57 pagi.

Operasi tersebut turut dibantu oleh Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu yang melibatkan seramai 17 anggota bersama dua jentera FRT dan satu tangki air. Pasukan menggunakan dua aliran hos sepanjang 60 meter, satu breeching, tiga pancutan dan satu hos reel dengan bekalan air dari tangki jentera.

Setakat ini, punca kebakaran dan anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa. - Media Telus

+ - reset