TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

Ustaz Dr Mohamad Yusri Bakir taruhan BN di PRK DUN Ayer Kuning

By
|
Kongsi
image

 

TAPAH 7 April – Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Ustaz Dr Mohamad Yusri Bakir, sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Pengumuman dibuat oleh Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad, dalam Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN yang diadakan serentak dengan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tapah di Dewan Serbaguna Kampung Tersusun Haji Tahir, Temoh, hari ini.

Dr Mohamad Yusri, 54, merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Kini, beliau bertugas sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh.

Majlis pengumuman turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi BN dan Pakatan Harapan (PH), termasuk Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; serta Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Turut hadir, Timbalan Presiden MIC merangkap Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu; dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Howard Lee.

Lebih 5,000 jentera dan penyokong daripada gabungan parti kerajaan hadir memeriahkan majlis berkenaan.

Selain aktif dalam dunia pendidikan, Dr Mohamad Yusri juga aktif dalam kerja-kerja kebajikan sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Tapah. Beliau memulakan kerjaya sebagai guru pada tahun 1992 sebelum menyertai IPG Kampus Ipoh sebagai pensyarah pada 2007.

Beliau berkahwin dengan Rosnani Mahmud, 52, dan dikurniakan empat orang anak berusia antara 20 hingga 28 tahun.

 

+ - reset