Berita Berita
Polis perketat kawalan sempena Mesyuarat Menteri Kewangan, Gabenor Bank Pusat ASEAN ke-12

KUALA LUMPUR 7 April - Polis Kuala Lumpur mempertingkat kawalan keselamatan di beberapa lokasi strategik sekitar ibu negara sempena penganjuran Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN ke-12 (AFMGM) dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula hari ini hingga Khamis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, seramai 22 pegawai kanan bersama 313 anggota pelbagai pangkat telah ditugaskan untuk mengawal kawasan tumpuan termasuk KLCC, dua hotel penginapan rasmi iaitu Mandarin Oriental dan Grand Hyatt, serta beberapa lokasi program sampingan.
“Kita turut menempatkan balai polis bergerak di kawasan berkaitan serta memastikan semua petugas dilengkapi dengan keperluan mencukupi dan bersedia memberi bantuan bila diperlukan,” katanya kepada Bernama.
Tambah beliau, kerjasama juga dijalinkan dengan Polis Selangor bagi mengawal pergerakan ketibaan dan pelepasan delegasi luar di KLIA dan Lapangan Terbang Subang.
Selain kawalan fizikal, polis turut menjalankan beberapa operasi khas termasuk pemeriksaan dan tapisan keselamatan di lokasi mesyuarat serta sentiasa mengemas kini maklumat keselamatan bagi memastikan kelancaran sepanjang program.
“Saya sendiri telah mempengerusikan mesyuarat penyelarasan keselamatan pada 19 Mac lalu bersama Kementerian Kewangan, Bukit Aman, serta pihak berkaitan bagi memastikan semua berjalan lancar dan memberi pengalaman terbaik kepada para delegasi,” katanya.
AFMGM kali ini dijangka menghimpunkan lebih 300 delegasi termasuk menteri kewangan ASEAN, gabenor bank pusat, wakil institusi kewangan antarabangsa dan sektor swasta. Sebanyak 14 mesyuarat akan berlangsung sepanjang empat hari, termasuk sesi perbincangan bersama Majlis Perniagaan ASEAN-AS, ASEAN-Kesatuan Eropah, dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN. - Media Telus
Berita berkaitan
April 9, 2025, 5:37 pm
Perkhidmatan KLIA Ekspres, KLIA Transit kembali beroperasi
April 9, 2025, 5:32 pm
Harga RON97, diesel turun lima sen, RON95 kekal
April 9, 2025, 3:34 pm
Murid sering lewat ke sekolah bongkar ibu kandung gigit, cucuk dengan gunting hingga cedera
April 9, 2025, 3:05 pm
Lelaki dipenjara 30 tahun, 36 sebatan rogol anak tiri berusia 13 tahun hingga hamil
April 9, 2025, 2:44 pm
Ditegur Ahmad Zahid jangan bergaduh lagi menjelang PRK Ayer Kuning, ini respon Dr Akmal
April 9, 2025, 2:22 pm
Kelantan cecah 4,591 kes HFMD, meningkat 10 kali ganda sejak tahun lalu
April 9, 2025, 12:40 pm