TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Nga Kor Ming fokus selesaikan masalah mangsa letupan, enggan layan kritikan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 7 April - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegaskan bahawa beliau tidak akan melayan kritikan segelintir pihak yang mempertikaikan ketidakhadirannya ke lokasi letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya baru-baru ini.

Menurut beliau, keutamaannya kini adalah untuk memastikan segala bantuan yang diperlukan dapat disampaikan segera kepada mangsa yang terjejas. Menjawab persoalan media mengenai isu berkenaan, Kor Ming menyatakan bahawa semua kementerian telah memainkan peranan masing-masing dalam menghulurkan bantuan pasca tragedi tersebut.

“Sebenarnya, itu saya rasa tak perlu kita layan. Yang penting saya selesaikan masalah rakyat. Setakat hari ini, kita lihat semua kementerian sudah mula menyalurkan bantuan,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Persidangan Projek Perumahan Mampu Milik Tahunan ke-14 di ibu negara pada Isnin.

Kor Ming turut memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong sendiri telah turun padang meninjau keadaan mangsa dan menyampaikan bantuan peribadi. Beliau juga berkongsi beberapa bentuk sokongan yang telah diberikan oleh pelbagai pihak, termasuk Kementerian Digital yang menyediakan tablet dan telefon bimbit, serta Kementerian Pendidikan yang menyumbangkan perkhidmatan bas percuma.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri Selangor melalui rangkaian parti DAP juga akan menyalurkan kesemua sumbangan yang dikumpul kepada mangsa yang terlibat dalam tragedi itu.

Beliau memberi jaminan bahawa semua mangsa akan menerima bantuan sepenuhnya daripada pihak kerajaan, dan menyatakan bahawa satu pertemuan akan diadakan bersama Perdana Menteri pada pagi yang sama bagi membincangkan formula penyelesaian terbaik.

“Jadi apabila ada keputusan kami akan membuat pengumuman,” jelasnya.

Sebelum ini, tular di media sosial beberapa kritikan yang mempersoalkan tindakan beliau yang tidak turun padang untuk meninjau lokasi kejadian, lebih-lebih lagi insiden tersebut melibatkan kawasan perumahan dan kesejahteraan penduduk.

Mengakhiri sidang media tersebut, Kor Ming menegaskan bahawa objektif utama Kerajaan Madani adalah untuk melindungi rakyat serta memastikan semua bantuan sampai kepada mangsa dalam keadaan segera dan tersusun. - Media Telus

+ - reset