TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Banjir di Johor semakin buruk, mangsa terus bertambah

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 7 April - Situasi banjir di negeri Johor terus menunjukkan peningkatan dari segi jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), manakala keadaan di Sabah kekal sama setakat pagi ini.

Di Johor, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan bahawa daerah Batu Pahat mencatatkan pertambahan jumlah mangsa kepada 326 orang daripada 108 keluarga setakat jam 8 pagi. Angka ini meningkat berbanding 285 mangsa daripada 94 keluarga yang direkodkan pada jam 4 petang semalam. Kesemua mangsa banjir, yang terdiri daripada penduduk Kampung Baharu Sri Gading, kini ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading.

Dalam perkembangan berkaitan, paras air Sungai Senggarang di Batu Pahat kini berada pada tahap amaran iaitu 3.35 meter, manakala Sungai Batu Pahat mencatatkan bacaan 2.30 meter pada paras waspada. Beberapa daerah lain di Johor termasuk Muar, Segamat, Kluang, Tangkak dan Kulai turut dilaporkan mengalami hujan pagi ini, manakala cuaca mendung direkodkan di Johor Bahru, Mersing, Pontian dan Kota Tinggi.

Sementara itu, di Sabah, jumlah mangsa banjir di daerah Kinabatangan kekal seramai 138 orang daripada 30 keluarga yang berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Garam sejak malam tadi. Menurut Sekretariat JPBN Sabah, empat buah kampung telah terjejas akibat bencana tersebut.

Pada 2 April lalu, Kinabatangan yang terletak kira-kira 306 kilometer dari Kota Kinabalu telah diisytihar sebagai kawasan bencana banjir susulan hujan berterusan dan paras air sungai yang melebihi tahap bahaya. - Media Telus

+ - reset