TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Letupan paip gas bawah tanah, penduduk alami gangguan bekalan elektrik - TNB

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 1 April - Penduduk di sekitar kawasan Putra Heights dan Subang Jaya mengalami gangguan bekalan elektrik susulan kebakaran besar yang berpunca daripada letupan paip gas bawah tanah di Jalan Putra Harmoni, pagi tadi.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataannya, memaklumkan bahawa pasukan teknikal TNB sudah digerakkan ke lokasi kejadian untuk menilai situasi.

"Kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik akan dilaksanakan sebaik sahaja keadaan disahkan selamat oleh pihak berkuasa," kata kenyataan itu.

Setakat ini, bomba masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai punca kebakaran. Namun, TNB akan terus memantau perkembangan insiden ini dan memberikan maklumat terkini dari semasa ke semasa.

TNB turut mengingatkan pengguna yang terjejas bekalan elektrik untuk menghubungi talian 15454 bagi sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut.

Terdahulu, letupan kuat kedengaran di kawasan sekitar, diikuti dengan kebakaran besar tempat kejadian 

Kebakaran akibat kebocoran saluran paip gas bawah tanah itu sudah merebak kepada beberapa rumah terletak berhampiran dengan tujuh mangsa setakat ini berjaya diselamatkan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata api sudah merebak ke kawasan rumah berhampiran lokasi kebakaran.

"Setakat ini, tujuh mangsa termasuk dua warga emas berjaya diselamatkan pasukan. Jumlah sebenar mangsa dan sejauh mana api merebak di sekitar kawasan rumah masih belum diketahui," katanya.

Wan Razali berkata, Petronas selaku pemilik saluran paip gas berkenaan sudah menutup injap saluran paip yang terbakar.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya belum dapat memastikan jarak saluran paip yang terbakar ke lokasi injap yang ditutup.

Dalam pada itu, beliau berkata, operasi memadamkan kebakaran dan penyelamatan penduduk itu membabitkan kekuatan 78 pegawai dan anggota dari 11 balai bomba.

Menurutnya, balai bomba dan penyelamat (BBP) terbabit adalah Subang Jaya, Puchong, Shah Alam, Bukit Jelutong, Cyberjaya, Rawang, Klang Selatan, Klang Utara, Damansara, KLIA serta Serdang.

Katanya, ketika ini operasi memadamkan kebakaran masih berjalan.

+ - reset