TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jemaah Menteri ucap Selamat Hari Raya, seru perpaduan dan kesederhanaan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 31 Mac - Barisan Jemaah Menteri mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam yang menyambut Syawal hari ini, sambil menyeru rakyat Malaysia untuk terus mengukuhkan perpaduan serta menjaga keharmonian negara.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, dalam ucapan di media sosialnya menekankan kepentingan memelihara keharmonian dalam masyarakat majmuk.

"Alhamdulillah, kita telah menyempurnakan ibadah puasa di bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Kini, dengan penuh rasa syukur, kita menyambut Aidilfitri yang membawa kegembiraan dan kemenangan buat umat Islam di seluruh dunia," katanya.

Beliau turut mengajak rakyat mengekalkan semangat perpaduan dan saling menghormati antara satu sama lain.

Hargai Pengorbanan Anggota Keselamatan

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menzahirkan penghargaan kepada anggota tentera yang bertugas demi keselamatan negara meskipun berjauhan daripada keluarga.

"Marilah kita luangkan masa untuk mendoakan keselamatan mereka yang berkhidmat menjaga keamanan negara. Malaysia bangga dan berterima kasih kepada anda semua," ujarnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula mengingatkan rakyat agar memastikan keselamatan rumah dan harta benda sebelum pulang ke kampung.

"Keselamatan nyawa adalah keutamaan. Pastikan perjalanan anda selamat kerana keluarga menanti dengan penuh kegembiraan," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Polis Diraja Malaysia telah membekukan cuti 6,800 anggota bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang musim perayaan.

Sambut Aidilfitri dengan Kesederhanaan

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, menasihatkan rakyat supaya menyambut Syawal dengan sederhana tanpa pembaziran.

"Selamat Hari Raya kepada semua rakyat Malaysia, khususnya para peladang, penternak dan nelayan yang berusaha memastikan sumber makanan negara sentiasa mencukupi," katanya.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkongsi bahawa Aidilfitri mempunyai makna istimewa buatnya kerana beliau dilahirkan pada 1 Syawal.

"Setiap tahun, Hari Raya mengingatkan saya bahawa usia semakin bertambah. Saya berdoa agar Allah mempermudahkan segala urusan kita semua," katanya.

Perayaan Sebagai Platform Perpaduan

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berharap Syawal menjadi medan untuk mengeratkan ukhuwah melalui amalan kunjung-mengunjung serta saling bermaafan tanpa mengira kaum dan agama.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, turut berkongsi suasana Aidilfitri di kampung halaman dengan memuat naik video membakar lemang bersama keluarga.

Selain itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; serta Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang turut menyampaikan ucapan Hari Raya menerusi media sosial mereka. - Media Telus

+ - reset