TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time: 08/04/2025 06:10:42 AM

Berita Hiburan

"Mantera" – Filem seram berdasarkan ritual sebenar, pelakon dirasuk & kru ditarik ke gaung!

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 27 Mac - Kisah seram yang berkait dengan tradisi kaum tertentu, khususnya di Sabah, jarang dipaparkan di layar perak. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan amalan kuno yang masih diamalkan hingga ke hari ini.

Itulah yang cuba diketengahkan menerusi filem seram "Mantera", sebuah karya yang menggali kepercayaan dan ritual lama masyarakat Dusun di Sabah. Filem ini diterbitkan oleh Pro Merge Vision Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh Chester Pang.

Menurut Chester, "Mantera" diinspirasikan daripada kisah ‘Bobolian’, iaitu bomoh atau ketua adat yang memainkan peranan penting dalam kepercayaan masyarakat Dusun.

“Ramai yang tidak mengetahui bahawa Bobolian bukan sekadar seorang dukun, tetapi juga berperanan sebagai perantara antara alam manusia dan dunia spiritual yang dikenali sebagai ‘kinohiringan’ (dewa). Saya berasa terpanggil untuk membawa elemen budaya ini ke layar perak,” katanya.

Barisan Pelakon dan Jalan Cerita yang Sarat Misteri

Filem ini dibintangi oleh Syafie Naswip, Namron, Jovenia Jim, Wedylin Batala, dan Larry Noh, dengan penggambaran dilakukan sepenuhnya di Tambunan, Apin-Apin dan Kota Belud, Sabah.

"Mantera" mengisahkan satu penyiasatan mengenai kes pembunuhan yang dikaitkan dengan ritual Bobolian. Namun, di sebalik pencarian jawapan, mereka menemui kehadiran entiti jahat yang berkait rapat dengan kepercayaan kuno tersebut.

“Walaupun filem ini berunsur seram, ia tidak hanya tertumpu kepada elemen menakutkan semata-mata. Penonton juga akan diperkenalkan kepada pelbagai ritual tradisional kaum Dusun yang jarang dipaparkan dalam industri perfileman,” ujar Chester.

Insiden Aneh Ketika Penggambaran

Sepanjang sesi penggambaran pada Februari 2024, beberapa kejadian aneh dan menyeramkan turut berlaku.

“Salah satu insiden berlaku ketika babak memanggil roh di sebuah balai raya, apabila dua pelakon wanita tiba-tiba dirasuk. Mujurlah seorang guru silat yang kebetulan berada di lokasi berjaya mengawal keadaan,” katanya.

Selain itu, seorang kru produksi juga mengalami pengalaman menakutkan apabila dia terjatuh ke dalam gaung dan mendakwa seperti ‘ditarik’ oleh sesuatu, kejadian yang turut disaksikan oleh Syafie Naswip dan Namron.

Filem Sarat Budaya dan Misteri Ditayangkan April Ini

Walaupun berdepan cabaran sepanjang penggambaran, Chester tetap optimis bahawa "Mantera" bakal mendapat sambutan hangat apabila mula ditayangkan pada 24 April 2025.

“Filem ini bukan sekadar naskhah seram biasa, tetapi turut menonjolkan warisan budaya dan kepercayaan tradisional masyarakat Dusun. Ia gabungan elemen mistik dan budaya yang jarang diketengahkan di layar perak,” tambahnya.

Sebagai penerbit, Chester berharap filem ini akan mendapat sambutan hebat dan berjaya mencipta fenomena di pawagam.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan "Mantera" di pawagam bermula 24 April 2025 dan alami sendiri keunikan serta keindahan budaya Dusun yang penuh misteri! - Media Telus

+ - reset