Berita Berita
Keadaan mental tak stabil, bekas Panglima TLDM lepas tanpa bebas 3 tuduhan pecah amanah lebih RM21 juta

KUALA LUMPUR 12 Mac - Mahkamah Sesyen hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor, daripada tiga pertuduhan pecah amanah melibatkan dana syarikat berjumlah RM21.08 juta berkaitan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Suzana Hussin selepas membenarkan permohonan peguam bela, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, supaya Ahmad Ramli, yang juga bekas Panglima TLDM berusia 81 tahun, dilepas tanpa dibebaskan.
Permohonan itu dibuat berikutan laporan pakar psikiatri dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang mendapati keadaan mental Ahmad Ramli tidak sesuai untuk dibicarakan.
“Berdasarkan hujahan pihak-pihak dan laporan perubatan mengenai keadaan mental tertuduh oleh HKL, penilaian menunjukkan bahawa tertuduh tidak sesuai untuk dibicarakan. Oleh itu, tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada kesemua pertuduhan,” kata Suzana ketika sebutan kes tersebut.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan bahawa representasi yang dikemukakan Ahmad Ramli pada 10 Januari telah ditolak dan pihak pendakwaan bersedia untuk meneruskan perbicaraan.
Namun, Mohd Yusof memberitahu mahkamah bahawa laporan perubatan HKL mengesahkan Ahmad Ramli tidak sesuai untuk dibicarakan kerana beliau tidak mampu untuk mempertahankan dirinya.
Mahadi menyatakan pihak pendakwaan mengambil maklum perkara tersebut dan menyerahkan keputusan kepada budi bicara mahkamah.
Pada 16 Ogos 2022, Ahmad Ramli, sebagai Pengarah Urusan BNS yang bertanggungjawab menguruskan dana syarikat, didakwa melakukan pecah amanah dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM13,541,140 ke akaun Syarikat Setaria Holding Limited di Singapura tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS, antara 26 Julai 2010 hingga 25 Mac 2011.
Beliau juga didakwa melakukan pecah amanah dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM1,360,716 ke akaun Syarikat JSD Corporation, Singapura, tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS, antara 19 April 2011 dan 4 Mei 2011.
Selain itu, Ahmad Ramli berdepan dakwaan meluluskan pembayaran berjumlah RM6,182,295 ke akaun Syarikat Sousmarin Armada Ltd, Singapura, tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS, antara 28 Oktober 2010 dan 22 November 2010.
Ketiga-tiga pertuduhan itu mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun hingga maksimum 20 tahun dengan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Namun, hukuman sebat tidak boleh dikenakan terhadap pesalah yang berusia lebih 50 tahun.
Berita berkaitan
March 12, 2025, 9:02 pm
Harga RON97 turun 10 sen, diesel di Semenanjung turun 7 sen
March 12, 2025, 4:22 pm
Malaysia tak berhasrat ikut langkah AS hantar PATI pulang ke negara asal
March 12, 2025, 3:48 pm
Gempa bumi sederhana landa Kepulauan Nicobar, India - MetMalaysia
March 12, 2025, 3:34 pm
Manfaat tanah lapang, Mat Sabu tanam bawang di kediaman rasmi menteri
March 12, 2025, 2:32 pm
Pelabur asing kini boleh tinggal di Malaysia sehingga 6 bulan - Saifuddin
March 12, 2025, 2:17 pm
Anwar minta semua henti isu perkauman, pastikan negara terus stabil
March 12, 2025, 1:21 pm
GAPEIM salur bantuan asas kepada 50 individu sempena Ramadan, Hari Raya
March 12, 2025, 12:11 pm
Polis buru dua lelaki terlibat insiden pergaduhan di Johor Bahru
March 12, 2025, 12:03 pm