TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis siasat rusuhan pekerja kilang berang gaji dapat lambat di Pokok Sena

By
|
Kongsi
image

ALOR SETAR 12 Mac - Polis kini sedang mengenal pasti suspek yang disyaki terlibat dalam insiden rusuhan melibatkan sekumpulan pekerja di sebuah kilang di Pokok Sena, semalam.

Kejadian tersebut tular di aplikasi TikTok sejak semalam, dengan sebuah video berdurasi 1 minit 11 saat menunjukkan sekumpulan individu yang dipercayai pekerja kilang merusuh. 

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad, berkata pihaknya menyedari video tersebut dan mengesahkan bahawa kejadian rusuhan itu berlaku di kilang di Jabi, Pokok Sena, Kedah, sekitar tengah hari semalam.

"Makluman awal mengenai kejadian diterima oleh Balai Polis Pokok Sena pada 1.05 tengah hari, sebelum sepasukan polis dikerahkan ke lokasi untuk menilai keadaan. Laporan polis telah dibuat untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Siti Nor Salawati, hasil siasatan awal di lokasi mendapati rusuhan tersebut berlaku pada 12.05 tengah hari, berikutan pertelingkahan antara sekumpulan pekerja dan dua penyelia kilang tersebut.

Pertelingkahan itu dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati pekerja terhadap kelewatan pembayaran gaji yang telah dimaklumkan oleh pihak syarikat.

"Selain itu, terdapat kejadian tolak-menolak dalam pertelingkahan tersebut yang menyebabkan tiga individu mengalami kecederaan ringan," tambahnya.

Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

+ - reset