Berita Berita
Lelaki ditahan selepas ibu tiga anak meninggal dunia akibat kebakaran di Batu Pahat

BATU PAHAT 11 Mac - Seorang lelaki ditahan polis berhubung kebakaran sebuah rumah di Kampung Baru Sri Gading pada Sabtu lalu selepas mangsa, seorang ibu kepada tiga anak, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) pada Ahad malam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata penahanan itu dibuat selepas kes diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Suspek telah ditahan dan masih dalam tempoh tahanan reman sehingga 15 Mac untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian yang berlaku sekitar jam 9 malam pada Rabu lalu berpunca daripada pertengkaran antara mangsa yang berusia 31 tahun dengan kenalan lelakinya berusia 29 tahun.
“Pertengkaran itu berlarutan sehingga berlaku insiden melibatkan pemetik api dan minyak petrol, menyebabkan kebakaran di rumah tersebut. Api yang marak turut menyambar bahagian badan mangsa dan suspek,” katanya.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan melecur serius dengan tahap kebakaran sekitar 74 peratus, manakala suspek mengalami kecederaan sekitar 13.5 peratus. Rumah berkenaan pula terbakar sekitar 30 peratus daripada keseluruhan struktur.
Pada peringkat awal, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api. Namun, selepas mangsa meninggal dunia sekitar jam 9.54 malam Ahad lalu, kes diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram dan BBP Batu Pahat, dengan bantuan lima jentera, dikerahkan ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah sebelum ini telah ditidurkan, namun disahkan meninggal dunia pada Ahad dan selamat dikebumikan pada Isnin. - Media Telus
Berita berkaitan
March 12, 2025, 4:22 pm
Malaysia tak berhasrat ikut langkah AS hantar PATI pulang ke negara asal
March 12, 2025, 3:48 pm
Gempa bumi sederhana landa Kepulauan Nicobar, India - MetMalaysia
March 12, 2025, 3:34 pm
Manfaat tanah lapang, Mat Sabu tanam bawang di kediaman rasmi menteri
March 12, 2025, 2:32 pm
Pelabur asing kini boleh tinggal di Malaysia sehingga 6 bulan - Saifuddin
March 12, 2025, 2:17 pm
Anwar minta semua henti isu perkauman, pastikan negara terus stabil
March 12, 2025, 1:21 pm
GAPEIM salur bantuan asas kepada 50 individu sempena Ramadan, Hari Raya
March 12, 2025, 12:11 pm
Polis buru dua lelaki terlibat insiden pergaduhan di Johor Bahru
March 12, 2025, 12:03 pm
Tular video pimpin tangan dua anak, ibu Zayn Rayyan buat laporan polis risau keselamatan terancam
March 12, 2025, 11:24 am