TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pendapatan ahli Parlimen boleh cecah RM30,000 – Exco Pemuda Amanah

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 11 Mac - Exco Pemuda Amanah, Dr. Mohamed Nashrudin Naharudin menafikan dakwaan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang menggambarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbohong mengenai jumlah sebenar elaun bulanan ahli Parlimen.

Menurut Dr. Nashrudin, pendapatan seorang ahli Parlimen bukan sahaja mencecah RM30,000 sebulan, malah boleh lebih tinggi sekiranya mereka menghadiri sidang Parlimen dan mesyuarat rasmi.

“Jika anda tidak ponteng Parlimen, pendapatan seorang Ahli Parlimen memang boleh mencecah RM30,000 atau lebih sebulan. Tidak timbul isu jatuh muflis seperti yang didakwa Tan Sri Muhyiddin mengenai beberapa Ahli Parlimen yang kononnya hampir bankrap akibat pemotongan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

“Maka, rajin-rajinlah hadir ke Parlimen dan laksanakan tugas rasmi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa seorang Ahli Parlimen biasa menerima gaji asas serta pelbagai elaun tambahan seperti elaun keraian, elaun perjalanan, elaun pemandu, elaun bahan api dan elaun khas bagi wakil rakyat yang bukan anggota pentadbiran.

Selain itu, kehadiran ke sidang Parlimen dan mesyuarat jawatankuasa turut menambah pendapatan mereka, dengan jumlah keseluruhan boleh mencecah RM35,700 jika hadir secara penuh.

“Masalahnya adalah sikap malas dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang, selain kurang berkesan dalam menjalankan peranan semak dan imbang terhadap dasar kerajaan di Parlimen.

“Saya amat bersetuju bahawa peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tidak perlu diberikan. Lebih baik peruntukan itu terus disalurkan kepada rakyat melalui kaedah lain atau mereka menunjukkan komitmen hadir ke Parlimen sebelum menuntut pelbagai perkara,” tambahnya. - Media Telus

+ - reset