TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MBS tanggalkan pintu PPR Lobak susulan tunggakan sewa sehingga RM34,000

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN 11 Mac - Majlis Bandaraya Seremban (MBS) mengambil tindakan menanggalkan pintu beberapa unit rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lobak selepas penyewa gagal melunaskan bayaran sewa selama bertahun-tahun.

Menurut MBS, sebahagian penghuni gagal membayar sewa bulanan sebanyak RM150 selama beberapa dekad, menyebabkan tunggakan mencecah puluhan ribu ringgit. Malah, ada yang bukan penyewa sah seperti dalam rekod, menimbulkan kecurigaan bahawa unit tersebut telah disewakan kepada pihak lain secara tidak sah.

"Kita telah menghantar notis dan amaran kepada penyewa supaya melangsaikan tunggakan. Namun, masih ada yang gagal, cuai dan enggan membayar," kata seorang pegawai MBS dalam video yang dimuat naik di Facebook rasmi agensi itu.

Difahamkan, salah satu unit yang disita mempunyai tunggakan sebanyak RM34,000, bersamaan lebih 18 tahun sewa yang tidak dibayar.

Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali, dalam kenyataan memaklumkan bahawa operasi tertumpu kepada enam penyewa yang mempunyai tunggakan tertinggi antara RM17,000 hingga RM34,000.

"Penghuni berkenaan telah menerima notis penamatan perjanjian penyewaan pada 31 Januari lalu dan diberi tempoh sehingga 26 Februari untuk mengosongkan unit masing-masing. Selepas tempoh tersebut, MBS mengambil tindakan menanggalkan pintu rumah sebagai langkah supaya mereka segera menjelaskan tunggakan," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan sama pernah dilaksanakan di Pangsapuri Rakyat Seri Perdana, Paroi.

Menurutnya, MBS sentiasa memberi peluang dan menyediakan pelbagai kaedah bayaran bagi membantu penyewa menyelesaikan tunggakan, namun masih ramai yang bersikap sambil lewa.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri, J Arul Kumar, menegaskan bahawa tindakan ini bukan bertujuan menzalimi penyewa, sebaliknya untuk memberi pengajaran kepada mereka yang culas membayar sewa.

MBS juga merancang untuk meneruskan operasi ini secara berkala bagi memastikan pematuhan pembayaran sewa di rumah PPR yang terlibat. - Media Telus

+ - reset