TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pesara wanita rugi duit simpanan RM100,000

By
|
Kongsi
image

KUANTAN 11 Mac - Seorang pesara wanita rugi wang simpanan sebanyak RM100,000 wang setelah diperdaya individu yang menyamar sebagai pegawai dari Bank Negara dan mahkamah.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, warga emas berusia 60 tahun itu menerima panggilan daripada suspek pada 5 Mac lalu yang mendakwa mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

“Mangsa telah diarahkan untuk mengisytiharkan wang simpanannya dengan cara memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun yang diberikan suspek.

“Akibat terpedaya dengan helah tersebut, mangsa telah melakukan empat transaksi pemindahan wang ke dalam dua akaun yang berbeza antara 7 Mac sehingga 9 Mac lepas, berjumlah RM100,000.00,” katanya dalam kenyataan.

Yahaya memberitahu, mangsa kemudian menyedari dirinya ditipu apabila diminta suspek untuk penambahan wang dan terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Justeru, beliau menasihati orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.

“Masyarakat juga diingatkan sentiasa peka terhadap trend penipuan atas talian terkini kerana modus operandi penjenayah sentiasa berubah dan semakin canggih, terutama dengan perkembangan teknologi,” tambah Yahaya. - Media Telus

+ - reset