TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PUSPAKOM Wangsa Maju beroperasi hingga Jun 2026 – Anthony Loke

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 11 Mac - Kementerian Pengangkutan bersetuju melanjutkan operasi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) cawangan Wangsa Maju sehingga 30 Jun 2026 berikutan kelewatan pembinaan cawangan baharu di Bukit Beruntung.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata sepatutnya pemindahan operasi ke Bukit Beruntung dijadualkan pada akhir Jun tahun ini, namun disebabkan kelewatan oleh kontraktor, cawangan Wangsa Maju akan terus beroperasi sehingga pembinaan baharu siap sepenuhnya.

"Kerja-kerja pemindahan operasi di Bukit Beruntung sepatutnya selesai pada akhir Jun ini. Namun, kementerian bersetuju untuk melanjutkan operasi PUSPAKOM Wangsa Maju hingga 30 Jun 2026 bagi memastikan kelancaran perkhidmatan," katanya dalam sidang media selepas melawat pusat pemeriksaan itu hari ini.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli.

Anthony Loke turut menjelaskan bahawa pemindahan operasi ini telah lama dibincangkan kerana lokasi PUSPAKOM Wangsa Maju yang berhampiran dengan beberapa sekolah menyebabkan kesesakan lalu lintas.

"Ada lorong kecil menuju ke PUSPAKOM ini yang dikongsi dengan sekolah, dan saya menerima banyak aduan daripada guru serta ibu bapa mengenai kesukaran pelajar untuk tiba tepat pada waktu kerana jalan dipenuhi kenderaan berat sejak awal pagi untuk pemeriksaan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Kementerian Pengangkutan sebelum ini mengumumkan bahawa kerajaan telah menerima cadangan Ocean Infinity (United Kingdom) untuk menyambung semula operasi pencarian di kawasan baharu seluas 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi, selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 13 Disember lalu. - Media Telus

+ - reset