TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PM tekankan kepentingan memperkukuh dasar Islam dalam pendidikan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 11 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan memperkukuh dasar Islam, khususnya dalam sektor pendidikan, serta usaha kerajaan dalam membina kekuatan dalaman umat Islam.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, Anwar menghargai pandangan serta nasihat daripada golongan pendidik, terutamanya berkaitan pendidikan turath dan pemerkasaan institusi sekolah pondok di Malaysia.

Pada pagi ini, Perdana Menteri telah menerima kunjungan rombongan pondok dan madrasah dari Kelantan di Pejabat Perdana Menteri. Kumpulan tersebut diundang secara peribadi oleh Anwar selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, semalam.

“Perdana Menteri turut menghargai nasihat yang disampaikan oleh para tuan guru, khususnya dalam usaha memperkukuh semangat perpaduan, memupuk kasih sayang, menghapuskan kebencian, serta menerapkan kesabaran dalam menyampaikan penjelasan mengenai inisiatif Kerajaan MADANI berkaitan Islam kepada rakyat,” katanya.

Dalam perbincangan itu, kedua-dua pihak bersetuju bahawa terdapat banyak perkara yang boleh disepakati dalam isu Islam berbanding perbezaan yang wujud. Perdana Menteri turut menekankan kepentingan komunikasi yang baik serta kerjasama erat dengan kerajaan negeri Kelantan dalam membangunkan ummah.

Anwar berharap pertemuan seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan mengalu-alukan lebih banyak wacana sebegini.

"Beliau amat menghargai buah fikiran serta nasihat yang disampaikan dan percaya ia dilakukan demi kepentingan umat serta negara. Perdana Menteri juga berkongsi pandangan mengenai pelbagai isu berkaitan pembangunan Islam dan kemajuan ummah," tambahnya. - Media Telus

+ - reset