TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hormati nasihat Menteri Perpaduan, Saravanan batal hasrat debat dengan Zamri Vinoth

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 11 Mac - Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, membatalkan niatnya untuk mengadakan debat mengenai agama dengan pendakwah bebas, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, selepas mempertimbangkan nasihat daripada Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas berbincang dengan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, serta bagi menjaga perpaduan negara.

"Saya ingin menjelaskan bahawa banyak orang salah faham mengenai debat ini. Ia bukan mengenai agama lain, tetapi bertujuan untuk membetulkan tuduhan yang dibuat oleh Zamri dengan fakta yang betul," katanya pada sidang media.

Saravanan juga berkata, tuduhan yang dibuat oleh Zamri mengenai 'wel-wel' dan pengambilan kavadi dalam keadaan mabuk serta minum todi, menyebabkan beliau, sebagai seorang penganut agama Hindu, ingin membetulkannya melalui debat.

"Ini tiada kaitan dengan agama lain, hanya membabitkan saya dan Zamri, di mana saya ingin mendidiknya. Mungkin dia datang dari latar belakang ajaran yang sesat, dan saya bertanggungjawab untuk membetulkannya melalui debat tanpa menyentuh agama lain," tambahnya.

Terdahulu, dalam satu hantaran di Facebook, Zamri menggambarkan penganut Hindu yang melakukan upacara kavadi pada Thaipusam sebagai "macam orang kena rasuk sambil mabuk todi." Hantaran tersebut telah dipadam oleh Facebook, namun ia mencetuskan kemarahan ramai kerana didakwa mempersenda upacara keagamaan Hindu.

Saravanan juga menegaskan bahawa beliau berhak mempertahankan agamanya apabila terdapat tuduhan liar.

"Walaupun masyarakat umum telah memaafkan kesilapan yang berlaku di stesen radio Era FM dan pihak terbabit sudah memohon maaf, saya berharap kerajaan dan PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyentuh agama lain," katanya. 

Beliau menyeru masyarakat Hindu untuk tidak mengambil tindakan sendiri, sebaliknya membuat laporan polis agar tindakan tegas terhadap Zamri dapat diambil, serta berharap pihak berkuasa akan bertindak tegas agar perkara ini tidak berulang.

+ - reset