TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time: 07/04/2025 06:03:23 PM

Berita Politik

Warisan sah bertanding solo dalam PRN Sabah - Shafie Apdal

By
|
Kongsi
image

LAHAD DATU 9 Mac - Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menyatakan bahawa parti yang dipimpinnya memilih untuk bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, meskipun terdapat pelbagai spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama dengan parti lain, Warisan lebih selesa bertanding sendirian.

Shafie menegaskan bahawa tiada sebarang perbincangan atau keputusan untuk bergabung dengan mana-mana parti.

Parti Warisan, yang dianggap sebagai parti berbilang kaum, yakin mampu mengulangi kejayaan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang pernah memenangi pilihan raya secara solo pada tahun 1970-an hingga 1990-an.

"Kita tidak mempunyai banyak sumber kewangan, tetapi kami adalah pemimpin orang Sabah yang merangkumi pelbagai kaum seperti Kadazandusun Murut (KDM), Brunei, Kedayan, Bajau, dan lain-lain," katanya selepas Majlis Berbuka Puasa dan penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf di Masjid Daerah Kecil Tungku, semalam.

Beliau yang juga ADUN Senallang menambah, jika Warisan berjaya membentuk kerajaan selepas PRN17, parti tersebut bertekad untuk membawa Sabah ke arah yang lebih baik.

Sebelum ini, Warisan dilihat lebih cenderung untuk bekerjasama dengan UMNO Sabah berikutan percubaan kedua-dua parti untuk menggulingkan kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melalui 'Langkah Kinabalu' pada Januari 2023.

Pada PRN16 yang berlangsung pada September 2020, Warisan memenangi 23 kerusi, jumlah tertinggi bagi mana-mana parti, namun sebahagian daripada wakil rakyatnya meninggalkan parti, menyebabkan jumlah kerusi yang dimilikinya kini tinggal 14, kebanyakannya di kawasan pantai timur Sabah.

PRN17 boleh diadakan pada bila-bila masa selepas ini kerana Dewan Undangan Negeri Sabah yang ke-16 akan tamat pada bulan Oktober ini.

+ - reset