TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

Calon tempatan lebih baik pertahan kerusi DUN Ayer Kuning - Saravanan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 27 Feb -Pemilihan calon tempatan dilihat sebagai langkah terbaik untuk Barisan Nasional (BN) dalam usaha mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Tapah.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, berkata berdasarkan pengalamannya sebagai Ahli Parlimen Tapah sejak 2008, penduduk di kawasan tersebut agak sensitif dengan penglibatan pihak luar.

Saravanan menyatakan bahawa meskipun terdapat enam Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan DUN Ayer Kuning, tumpuan utama akan diberikan kepada enam PDM yang dianggap penting.

Dua PDM utama di kawasan tersebut mempunyai lebih kurang 1,400 dan 600 pengundi, manakala yang lain lebih kurang 400 pengundi setiap satu.

Beliau juga menambah, jentera BN akan memberi tumpuan kepada sekitar 4,000 undi di enam PDM tersebut.

Dalam usaha menarik sokongan pengundi, Saravanan berkata, fokus utama jentera pilihan raya akan diberikan kepada pengundi Melayu, yang dianggarkan berjumlah lebih 18,000 orang, diikuti pengundi Cina sekitar 6,900, pengundi India (4,600) dan Orang Asli (2,000).

Beliau juga tidak melihat sebarang masalah dalam meraih sokongan pengundi Cina, India, atau Orang Asli, terutamanya dengan kerjasama antara Pakatan Harapan dan BN dalam Kerajaan Perpaduan.

Kerusi DUN Ayer Kuning kini kosong susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang pada Sabtu lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), BN memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi, mengalahkan empat calon lain, termasuk dari Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Sosialis Malaysia (PSM), dan Gerakan Tanah Air (GTA).

Ishsam, yang mewakili UMNO, memperoleh 9,088 undi, sementara calon-calon lain seperti Mohd Nazri Hashim (AMANAH) meraih 6,875 undi, Muhammad Noor Farid Zainal (Pas) 6,812 undi, K Bawani (PSM) 586 undi, dan Maziah Salim (Parti Pejuang Tanah Air) hanya mendapat 105 undi. 

+ - reset