Berita Politik
Amanah Perak beri laluan kepada BN dalam PRK DUN Ayer Kuning

IPOH 24 Feb. - Parti Amanah Negara (Amanah) Perak bersetuju memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) untuk meletakkan calon mewakili Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang dijangka diadakan susulan kekosongan kerusi akibat kematian penyandangnya.
Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi, berkata keputusan itu sebagai tanda sokongan penuh terhadap kestabilan politik yang dicapai menerusi Kerajaan Perpaduan dan bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri serta negara.
Menurutnya, Amanah Perak telah mula menyusun jentera parti bagi membantu kemenangan calon BN yang akan bertanding, sekali gus memperkukuh kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) di Perak.
"Dalam Mesyuarat Pengurusan Amanah Perak semalam (Ahad), sayap parti termasuk Angkatan Wanita Amanah (Awan), Pemuda dan Wanita Muda Amanah (Warda) telah diarahkan untuk mengadakan perbincangan rasmi bersama BN.
"Perbincangan ini bertujuan menyusun strategi bagi menarik sokongan pengundi muda dan wanita sebagai kumpulan sasaran utama dalam PRK ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Asmuni menegaskan bahawa hubungan baik antara BN dan PH perlu terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan dasar serta perancangan kerajaan berjalan lancar di peringkat negeri dan pusat.
Beliau turut yakin bahawa Kerajaan Perpaduan di Perak boleh dijadikan model terbaik dalam menunjukkan keutuhan kerjasama antara BN dan PH serta manfaat yang dinikmati rakyat menerusi dasar yang dilaksanakan.
Pada Ahad, Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, memaklumkan bahawa beliau akan menyerahkan pemberitahuan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan luar jangka kerusi DUN Ayer Kuning pada Selasa ini.
Berdasarkan Perkara 36(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, SPR perlu mengadakan PRK dalam tempoh 60 hari selepas menerima notis rasmi tersebut.
Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), BN memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi. Penyandangnya, Ishsam Shahruddin dari UMNO memperoleh 9,088 undi, mengalahkan calon Amanah, Mohd Nazri Hashim (6,812 undi), Muhammad Noor Farid Zainal dari PAS (6,812 undi), K Bawani dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (586 undi) dan Maziah Salim dari Parti Pejuang Tanah Air (105 undi). - Media Telus
Berita berkaitan
April 9, 2025, 8:07 am
PN umum calon anak jati rebut kerusi di PRK DUN Ayer Kuning
April 8, 2025, 10:38 am
Amanah siap sedia bantu calon Kerajaan Perpaduan menang di PRK Ayer Kuning
April 7, 2025, 5:00 pm
Ustaz Dr Mohamad Yusri Bakir taruhan BN di PRK DUN Ayer Kuning
April 7, 2025, 11:20 am
Akmal Nasrullah pertahan jawatan Ketua Cabang PKR Johor Bahru
March 28, 2025, 11:41 am
'Kalau betul sayangkan ummah, dulu tak keluar UMNO tubuh parti lain' - Tok Mat
March 24, 2025, 11:06 am
Makin sengit, Ramanan umum bertanding Naib Presiden PKR pada pemilihan Mei ini
March 19, 2025, 2:38 pm
Utamakan cadangan DAP belakangi ketetapan Allah - Abdul Hadi
March 17, 2025, 11:09 am
Fahmi Fadzil umum bertanding jawatan Naib Presiden PKR
March 17, 2025, 9:09 am
Gobind Pengerusi baharu DAP, Guan Eng dilantik Penasihat, Loke kekal Setiausaha Agung
March 14, 2025, 2:03 pm