TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time: 07/04/2025 01:23:46 PM

Berita Ekonomi

Bank Dunia saran Malaysia kembalikan GST atau VAT

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Malaysia disaran melaksanakan pembaharuan cukai dengan memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) atau Cukai Nilai Tambah (VAT) bagi memastikan sistem percukaian lebih cekap dan mampu mengurangkan ketidaksamaan ekonomi dalam kalangan rakyat, menurut laporan Bank Dunia.

Dalam laporan bertajuk Mengurangkan Ketidaksamaan dan Memperkukuh Mobiliti di Malaysia, Bank Dunia menyatakan bahawa langkah tersebut berpotensi meningkatkan hasil cukai jangka panjang menerusi percukaian langsung dan tidak langsung.

Ketika ini, kutipan cukai tidak langsung Malaysia hanya sekitar tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jauh lebih rendah berbanding purata negara berpendapatan rendah (LIC). Oleh itu, peningkatan hasil boleh dicapai dalam jangka pendek dengan memperkukuh sistem percukaian tidak langsung.

Cadangan Pelaksanaan GST

Laporan itu turut menyarankan pengenalan semula GST atau VAT, yang dianggap sebagai antara cukai paling cekap dan boleh dilaksanakan secara menyeluruh serta pantas.

"Satu simulasi menunjukkan bahawa menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan GST pada kadar 10 peratus dengan pengecualian minimum boleh menjana tambahan satu peratus daripada KDNK, dengan kesan relatif kecil terhadap ketidaksamaan," menurut laporan tersebut.

Selain itu, peningkatan kutipan cukai pendapatan individu (PIT) juga dijangka menyumbang sekurang-kurangnya satu peratus lagi kepada KDNK, dengan mengekalkan beban cukai pada tahap yang munasabah serta mengurangkan jurang ekonomi antara golongan berpendapatan tinggi dan rendah.

Langkah Lindungi Golongan Berpendapatan Rendah

Bank Dunia turut mencadangkan agar beban cukai kepada isi rumah berpendapatan rendah dikurangkan menerusi penyaluran bantuan sosial yang lebih cekap dan pemberian rebat GST yang bersasar.

"Penyaluran bantuan sosial kepada kelompok 40 peratus isi rumah terbawah serta pemberian rebat cukai dapat mengimbangi kesan kenaikan GST terhadap golongan miskin, tanpa meningkatkan ketidaksamaan dan masih menjana penjimatan fiskal tambahan bersamaan dua peratus daripada KDNK," katanya.

Selain itu, laporan itu mencadangkan beberapa langkah tambahan bagi meningkatkan kecekapan sistem fiskal, termasuk:

  • Penghapusan subsidi bahan api

  • Pengenalan semula GST tanpa pengecualian

  • Peningkatan bantuan sosial kepada 1.5 peratus daripada KDNK

  • Penggunaan hasil tambahan untuk melabur dalam sektor kesihatan

Menurut Bank Dunia, reformasi cukai yang menyeluruh berupaya mengangkat kedudukan Malaysia dalam usaha mengurangkan ketidaksamaan daripada separuh terbawah ke separuh teratas dalam kalangan negara-negara lain.

+ - reset