Berita Berita
Masih ada pemandu bas yang ambil dadah - JPJ
KUALA LUMPUR 29 Jan - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melaksanakan ujian saringan air kencing terhadap pemandu bas di seluruh negara bagi mempertingkat pematuhan sepanjang tempoh Op Khas Tahun Baharu Cina (TBC) 2025.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata tindakan ini diambil bagi memastikan pemandu bas kompeten dan berhemah ketika menjalankan tugas membawa penumpang.
Beliau berkata, setakat ini JPJ bersama AADK melaksanakan saringan urin terhadap 420 pemandu bas dan enam daripadanya positif dadah.
"JPJ memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan pihak syarikat, pemilik serta pemandu bas yang masih tegar melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan," katanya selepas Op Khas TBC di Terminal Bersepadu Selatan di sini, malam tadi.
Aedy Fadly berkata, menerusi operasi dilaksanakan sejak 20 Januari lalu, sebanyak 6,605 bas di 54 depoh dan 28 terminal utama di seluruh negara diperiksa.
Katanya, sebanyak 635 notis ke atas bas dikeluarkan termasuk 410 saman, 98 notis larangan penggunaan kereta motor, arah periksa (90 notis), permintaan butir pemandu (16 notis) dan selebihnya lain-lain kes.
"Bagi kesalahan saman, isu teknikal paling banyak direkodkan iaitu 120 kes termasuk membabitkan tayar botak.
"Pemandu memberi alasan tidak sempat atau lupa untuk memeriksa tayar kenderaan. Sepatutnya pengusaha bas juga perlu pastikan segala peralatan dalam keadaan baik," katanya.
Aedy Fadly berkata, pihaknya juga melaksanakan penyamaran sebagai penumpang bagi mengenal pasti kesalahan pemandu bas di seluruh negara.
"Terdapat pelanggaran etika sebagai pemandu kenderaan perkhidmatan awam dengan melakukan beberapa kesalahan seperti menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan memandu melebihi empat jam tanpa pemandu kedua.
"Ada pasukan khas membuat penyamaran dan tindakan ini sedikit sebanyak beri kesan kepada pemandu serta pengusaha syarikat kerana mereka sedar mengenai operasi ini," katanya.
Sementara itu, Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Azmi Mustafa berkata, banyak alasan diberi pemandu yang didapati positif dadah ini.
"Ada yang beritahu tempoh bekerja yang lama dan penat antara punca mereka mengambil dadah. Setakat ini kebanyakan dadah digunakan jenis amphetamine," katanya.
Berita berkaitan
January 29, 2025, 11:20 am
Enam penduduk dipercayai tertimbus tanah runtuh di Kuching
January 29, 2025, 11:10 am
India catat pelancong paling pesat ke Malaysia, ketibaan lebih satu juta
January 29, 2025, 9:29 am
Tahun Baharu China jadi titik permulaan semangat kebersamaan baharu - PM
January 28, 2025, 11:30 pm
Seorang maut, empat cedera dilanggar tren komuter ketika cuba melintas landasan di Klang
January 28, 2025, 6:26 pm
BNM denda 4 bank termasuk Maybank RM1.66 juta
January 28, 2025, 6:11 pm
'Malaysia memang suka tolong negara yang lebih kaya' - Tun M
January 28, 2025, 3:37 pm