TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MCA Johor mohon maaf susulan perkongsian status hina Islam

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 28 Jan - MCA Johor memohon maaf kepada umat Islam di negara ini setelah satu perkongsian status yang menghina dan memperlekehkan agama Islam dimuat naik di akaun Facebook rasmi mereka, kelmarin.

Menurut MCA Johor, perkongsian tersebut berlaku tanpa sengaja dan dibuat oleh seorang pentadbir akaun Facebook yang sudah lama bersara daripada parti.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, MCA Johor menjelaskan bahawa perkongsian status itu tidak dimaklumkan kepada pemimpin utama parti dan telah dilakukan oleh pentadbir yang tidak lagi aktif dalam urusan parti.

Individu berkenaan mengakui bahawa dia telah tersilap berkongsi status dari pihak lain yang bukan ditulis oleh mana-mana pemimpin MCA Johor.

"MCA Johor memohon maaf kepada seluruh umat Islam di negara ini atas perkongsian status yang telah dilakukan secara tidak sengaja pada 26 Januari lalu oleh salah seorang pentadbir Facebook kami," kata kenyataan itu.

Pentadbir yang terlibat telah pun dikeluarkan dari senarai akses akaun Facebook MCA Johor dan kini akaun tersebut dikendalikan oleh pentadbir baru. Status yang menimbulkan kontroversi itu juga telah pun dipadam serta-merta setelah MCA Johor menyedari isu berkenaan, susulan aduan yang diterima pada hari sebelumnya.

Sebelum itu, MCA Johor mengeluarkan satu status yang membandingkan peruntukan kerajaan untuk bantuan kepada rakyat Palestin, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), serta percetakan al-Quran, dengan tidak adanya tol percuma untuk sambutan Tahun Baru Cina.

Perbandingan ini telah mencetuskan pelbagai reaksi negatif dan disangka sebagai satu percubaan untuk membina persepsi salah terhadap bantuan yang diterima oleh umat Islam dan rakyat Palestin.

MCA Johor turut menjelaskan bahawa parti tersebut tidak mempunyai niat untuk mengguris perasaan umat Islam dan sama sekali tidak berniat untuk menghina agama Islam atau mana-mana agama dan kaum di negara ini.

"Kami memohon maaf sekali lagi kepada seluruh umat Islam di Malaysia dan berjanji akan lebih berhati-hati agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi," kata kenyataan itu lagi. - Media Telus

+ - reset