TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Telinga budak 6 tahun koyak digigit kuda, kepala terhentak besi di ladang agro di Negeri Sembilan

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN, 23 Jan – Seorang kanak-kanak autistik mengalami kecederaan serius apabila telinganya digigit oleh seekor kuda semasa bercuti bersama keluarganya di sebuah ladang agro di Pantai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Bapa mangsa, Suhaimi Mohd. Rafi, 31, berkata insiden yang berlaku pada 19 Januari lalu menyebabkan kepala anaknya terhantuk pada besi selain cuping telinga kirinya terputus akibat gigitan kuda berkenaan.

Menurutnya, mereka sekeluarga dari Kemaman, Terengganu, singgah bercuti di ladang agro tersebut selepas menyelesaikan urusan di Kuala Lumpur.

"Anak lelaki saya yang berusia enam tahun sangat teruja melihat kuda di situ dan meminta untuk bergambar bersamanya," katanya ketika dihubungi Kosmo Online.

Beliau menjelaskan bahawa selepas menunggang kuda dengan bayaran tiket yang ditetapkan, penjaga kandang mengajak mereka bergambar di kawasan berpagar.

"Ketika kami sedang mengambil gambar, secara tiba-tiba seekor kuda menggigit telinga anak saya. Dia menjerit kesakitan, dan dalam keadaan panik, saya segera membawanya ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Anak lelakinya terpaksa menjalani pembedahan segera dan rawatan tersebut hanya selesai kira-kira jam 1 pagi. Setelah tiga hari, anaknya dibenarkan keluar wad dan dilaporkan dalam keadaan stabil dengan telinganya berjaya disambung semula.

Namun, Suhaimi mengakui kejadian tersebut telah menyebabkan mereka sekeluarga mengalami trauma, terutama anak lelakinya.

"Kami masih dalam keadaan trauma, lebih-lebih lagi anak saya yang kini takut untuk mendekati haiwan. Saya cuba menghubungi pemilik ladang agro untuk berbincang mengenai pampasan, tetapi dia hanya berhubung melalui WhatsApp," katanya.

Menurut Suhaimi, kos rawatan sebanyak RM10,400 ditanggung oleh insurans, namun setelah berbincang dengan peguam, beliau dimaklumkan bahawa pampasan yang wajar adalah sekurang-kurangnya RM5,000.

Bagaimanapun, pemilik ladang agro tersebut hanya menawarkan pampasan sebanyak RM500, tetapi sehingga kini bayaran masih belum dibuat seperti yang dijanjikan.

Sehingga laporan ini disiarkan, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai kejadian yang menimpa kanak-kanak tersebut

+ - reset