TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wanita Indonesia ditahan kerana memiliki sijil lahir, kad pengenalan palsu di Kuantan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Seorang wanita warga Indonesia ditahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selepas disyaki memiliki sijil lahir individu lain dan kad pengenalan palsu dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kempadang, Kuantan, semalam.

Wanita berusia 36 tahun itu dipercayai menggunakan dokumen palsu tersebut untuk menjalankan perniagaan di kawasan Kuantan.

Menurut kenyataan JPN, serbuan dilakukan melalui Op Terancang oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa JPN Putrajaya, dengan kerjasama JPN Pahang dan Jabatan Imigresen. Operasi itu adalah hasil risikan dan aduan yang dijalankan selama dua minggu.

"Hasil pemeriksaan mendapati wanita berasal dari Medan, Indonesia, memiliki pasport Indonesia yang sah, tetapi menyimpan kad pengenalan Malaysia dengan butiran palsu.

"Pemeriksaan lanjut juga menemui sijil lahir milik individu lain, yang didakwa dibeli daripada seorang ejen dengan harga RM8,000 untuk mendapatkan kad pengenalan," menurut kenyataan itu.

Wanita tersebut kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - Media Telus

+ - reset