TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua lelaki terlibat kemalangan ketika tunda motosikal, seorang maut

By
|
Kongsi
image

PASIR GUDANG 27 Jan. - Usaha dua lelaki menunda motosikal rosak bertukar tragedi apabila salah seorang daripadanya maut, manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan di Jalan Masai-Kong Kong, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, insiden berlaku sekitar jam 10.45 pagi melibatkan dua motosikal iaitu Yamaha 135 LC dan Honda Wave yang mengalami kerosakan.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila penunggang Honda Wave, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun, menghadapi masalah motosikal rosak. Dia ditunda dari belakang oleh seorang lagi lelaki tempatan berusia 52 tahun yang menunggang Yamaha 135 LC dengan cara menolak menggunakan kaki kanan.

"Namun, kedua-dua mereka hilang kawalan sebelum terbabas di bahu kiri jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, penunggang Honda Wave terhantuk pada tiang elektrik di tepi jalan, manakala penunggang Yamaha 135 LC terjatuh di bahu jalan.

“Penunggang Honda Wave mengalami kecederaan parah di kepala, sementara penunggang Yamaha 135 LC mengalami kecederaan ringan. Kedua-dua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru. Malangnya, penunggang Honda Wave disahkan meninggal dunia pada jam 3 petang ketika menerima rawatan,” jelasnya.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya hingga menyebabkan kematian.

Beliau turut menyeru orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya. Saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis melalui talian 07-3864222 bagi membantu siasatan. - Media Telus

+ - reset