TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Isu penjualan arak: Akmal mohon Kor Ming sensitif, tindakan tegas kurangkan pemandu mabuk

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 26 JAN – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, digesa lebih peka terhadap sensitiviti isu penjualan arak di kawasan majoriti penduduk Islam.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, menegaskan bahawa menjaga keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum memerlukan pemahaman mendalam terhadap keperluan dan sensitiviti setiap kelompok.

Beliau merujuk cadangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk tidak membenarkan penjualan arak di kawasan majoriti Muslim sebagai langkah yang munasabah. Katanya, ini bukanlah satu bentuk larangan terhadap masyarakat bukan Islam, kerana minuman keras masih boleh didapati di kawasan lain sekitar Ipoh.

“Cadangan ini tidak menghalang masyarakat bukan Islam membeli atau meminum arak, tetapi mengelakkan penjualan di kawasan hampir 100 peratus penduduknya Muslim. Kawasan yang masih menjual arak bukannya jauh dari kawasan ini,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu.

Dr. Muhamad Akmal turut mempersoalkan langkah kerajaan dalam mengurangkan kes kemalangan akibat pemandu mabuk, sambil menegaskan pentingnya tindakan proaktif untuk menangani isu ini.

Sebagai respon, Nga Kor Ming menekankan bahawa status quo penjualan arak di premis berlesen harus dikekalkan untuk memastikan keharmonian masyarakat. Beliau mengingatkan bahawa penjualan arak adalah perniagaan sah di sisi undang-undang dan tidak seharusnya menjadi isu politik.

“Premis yang menjual minuman keras ada lesen sah. Mereka yang tidak boleh minum, jangan beli. Namun, hak masyarakat yang boleh minum juga harus dihormati,” kata Kor Ming.

Beliau menyeru agar isu ini ditangani secara rasional tanpa mengorbankan keharmonian hubungan antara kaum.

+ - reset