TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Kami tak datang untuk buat huru-hara' - Himpunan PESAWAH beralih ke pejabat Mat Sabu

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 27 Jan - Perhimpunan lebih 1,000 pesawah dari seluruh negara yang dijadualkan di sini hari ini, akan diteruskan ke lokasi baharu di pekarangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) susulan lawatan rasmi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ke Malaysia. 

Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya kesal kerana lawatan itu tidak dimaklumkan kepada mereka sedangkan urusan surat menyurat dan makluman berkenaan kunjungan PeSAWAH sudah lama dikemukakan. 

"PeSAWAH tidak datang untuk membuat huru hara lebih-lebih lagi ketika kedatangan tetamu negara. 

"Oleh itu, lokasi kunjungan dan sidang media PeSAWAH diubah ke Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada tarikh dan waktu yang sama," katanya. 

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon penyerahan memorandum membabitkan lebih 1,000 pesawah di Putrajaya ditunda ke tarikh lain susulan lawatan Presiden Prabowo Subianto ke negara ini. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pihaknya menghormati hasrat pesawat terbabit bagi mengunjungi Pejabat Perdana Menteri (PMO), namun tarikh berkenaan bertindih dengan lawatan pemimpin Indonesia itu. 

Selain itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menasihatkan pesawah yang hendak berhimpun di Putrajaya hari ini bagi menyerahkan memorandum supaya menangguhkannya ke suatu masa yang sesuai. 

Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak menghalang mereka untuk berhimpun sebaliknya menjelaskan ia tidak sesuai dilakukan ketika Lawatan Negara, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto. 

Prabowo akan mengadakan lawatan rasmiPrabowo Subianto akan mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia hari ini, atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. 

Presiden Indonesia itu akan diiringi oleh menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan. 

Beliau juga dijangka mengadakan pertemuan dengan Anwar di Putrajaya. 

Mengulas lanjut, PeSAWAH berkata, 10 wakil negeri pertubuhan itu akan tetap ke PMO untuk penyerahan memorandum dengan kawalan polis. 

Media sebelum ini melaporkan pesawah dari seluruh negara akan berkumpul di pekarangan PMO di sini, bagi menghantar memorandum kepada Perdana Menteri. 

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob. 

Abdul Rashid berkata, antara perkara yang dibawa kepada perhatian Perdana Menteri berkenaan tuntutan pesawah yang mahukan harga lantai belian padi dinaikkan kepada RM1,800 untuk satu tan metrik.

+ - reset