TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Saya sendiri lihat doktor dah 'burnout', batal WBB keputusan tegas Kabinet, bukan flip-flop

By
|
Kongsi
image

KLANG 27 Jan - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan pembatalan projek rintis Waktu Berkerja Berlainan (WBB) untuk pegawai perubatan bukanlah satu keputusan "flip-flop" oleh kerajaan.

Dr Dzulkefly yang juga Naib Presiden Parti AMANAH berkata, projek rintis itu yang bertujuan mengurangkan beban dan tekanan kerja pegawai perubatan masih dalam peringkat percubaan ketika dibatalkan.

"Sejak awal, saya lihat sendiri keadaan 'burnout' dalam kalangan doktor. Ada yang bekerja berlebihan hingga melebihi 33 jam. Mungkin ramai tidak tahu, tetapi dalam bidang dan disiplin tertentu, mereka bekerja melebihi 33 jam," katanya.

"Seramai 10 ketua pakar dilantik menganggotai Jawatankuasa Penasihat dan Tindakan Perubatan (MAAC) bagi projek WBB yang mana mereka mengambil masa hampir setahun untuk mencerakinkan satu penjadualan baharu. 

"Bagaimanapun, isu (berkaitan WBB) timbul apabila surat mengenai sistem itu bocor yang mana ia masih di peringkat 'proof of concept' di lima hospital. Apabila ia didedahkan kepada umum, doktor seluruh negara yang tidak terbabit dalam proses itu mula mempersoalkan mengapa mereka tidak diajak berbincang.

"Saya kemudian mengambil pendirian membawa perkara ini ke Kabinet kerana tidak boleh membuat keputusan sendiri. Keputusan Kabinet adalah untuk membatalkannya.

"Saya ingin tegaskan bahawa ini bukan 'flip-flop' kerana tiada keputusan muktamad mengenai WBB dibuat (pada waktu itu). Jawatankuasa masih menjalankan kajian dan kebocoran surat itu adalah satu kesilapan," katanya berucap di Konvensyen Nasional Amanah 2024, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, pembatalan projek rintis WBB itu adalah keputusan tegas kerajaan untuk memastikan doktor seluruh negara akan dilibatkan dalam sesi perbincangan pada masa hadapan.

"Saya akan memastikan perundingan menyeluruh dijalankan semasa merangka dasar atau meminda akta.

"Insya-Allah, kita tidak akan 'flip-flop' (mengenai dasar) tetapi terus bergerak ke hadapan," tegas beliau.

Jumaat lalu, Kabinet memutuskan untuk membatalkan projek rintis WBB bagi memberi laluan kepada kajian lebih mendalam dan menyeluruh.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Abu Bakar Suleiman.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) pula menyifatkan tindakan kerajaan membatalkan projek rintis itu sebagai keputusan wajar, mengambil kira kebimbangan dibangkitkan pelbagai pihak terutama impak pelaksanaannya.

Presiden MMA, Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira, berkata MMA turut menyokong penuh keputusan KKM mewujudkan satu jawatankuasa khas yang bermatlamat memperkukuh perkhidmatan kesihatan dan menambah baik jadual kerja petugas kesihatan.

+ - reset