TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ibu, anak ditemui mati dalam BMW depan sekolah di Johor Bahru

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 24 Jan - Seorang wanita dan anaknya ditemui meninggal dunia dalam sebuah kereta mewah yang diparkir di tepi jalan berhadapan sebuah sekolah dekat Bandar Baru Uda (BBU) di sini, malam semalam  

Wanita berusia 44 tahun itu ditemui orang awam kira-kira jam 9 malam semalam dalam keadaan tidak sedarkan diri bersama anak perempuannya yang berusia 14 tahun, sebelum kejadian dimaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan mengenainya kira-kira jam 10 malam semalam.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, bagi bedah siasat dan pihaknya mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.

"Setakat ini, kita mendapati tiada unsur jenayah dan bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa masih menunggu siasatan makmal," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di sini, hari ini.

Balveer Singh berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya kejadian berpunca daripada kebocoran saluran petrol di enjin yang menyebabkan pemeluwapan dan memasuki saluran pendingin hawa kereta.

"Menerusi perbualan terakhir mangsa dalam kumpulan WhatsApp bersama rakannya, mangsa memaklumkan baru selesai membeli-belah di kawasan sekitar BBU dan berhenti seketika di lokasi kejadian kerana kurang sihat.

"Mangsa yang mempunyai tiga anak tinggal di Bakar Batu di sini dan keluar bersama anak bongsunya," katanya yang mengesahkan enjin kenderaan masih hidup ketika dua beranak itu ditemui.

Balveer Singh memohon semua pihak memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan termasuk menyemak rekod kesihatan mangsa.

Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

+ - reset